Wednesday, September 23

Penempatan 4,000 anggota awam dalam PDRM bantu turunkan jenayah

0

JOHOR BAHARU:Penempatan kira-kira 4,000 anggota awam dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membantu polis menumpukan perhatian membanteras jenayah di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata melalui langkah itu  kadar jenayah di negara ini berjaya diturunkan sebanyak 37 peratus memandangkan anggota polis kini tidak lagi dibebani dengan tugasan pejabat.

“Penempatan anggota awam itu membolehkan seramai 7,402 anggota berpangkat rendah kini menjalankan tugasan luar. Tindakan ini akan dilakukan berterusan bagi memantapkan PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi TahunanKesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu) ke-33, di sini semalam. Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.

Ismail berkata walaupun budaya kerja dalam perkhidmatan polis agak berbeza dengan perkhidmatan lain, namun anggota awam yang terlibat berjaya melakukan kerja mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ismail berharap anggota awam di dalam PDRM mencari strategi baru bagi mewujudkan sistem penyampaian yang lebih berkesan selaras dengan kehendak kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Katanya, PDRM juga memerlukan anggota awam yang berdisiplin dalam usaha mencapai mutu perkhidmatan yang berkualiti.

“Budaya persaingan juga perlu diwujudkan bagi menyuntik semangat bekerja dengan lebih mantap sebagai satu pasukan,” katanya. — Bernama