Tuesday, April 13

Kuasa beli City ‘menggerunkan’: Mancini

0

Dengan kehadiran ramai pemain baru, pengurus percaya kelabnya mampu jadi juara

MANCHESTER, England: Roberto Mancini percaya kelab-kelab besar Liga Perdana Inggeris naik ‘gerun’ dengan perbelanjaan besar-besaran yang dilakukan oleh Manchester City ketika ini.City sudah berbelanja sehingga 79 juta pound (RM395 juta) setakat hujung minggu lepas apabila mendapatkan pemain pertahanan Aleksandar Kolarov dari Lazio dengan harga sebanyak 19 juta pound.

Angka tersebut menunjukkan bahawa City sudah berbelanja lebih banyak berbanding jumlah keseluruhan 14 pasukan teratas Liga Perdana Inggeris dalam tempoh tujuh bulan Mancini memegang jawatan.

Namun pengurus dari Itali itu masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti dengan pemain-pemain seperti James Milner, Mario Balotelli dan juga penyerang sensasi Liverpool, Fernando Torres turut menjadi buruannya.

Dalam masa yang sama, empat gergasi tradisi England selain Tottenham Hotspur kelihatan sunyi dalam pasaran perpindahan dengan musim baru kurang dua minggu lagi sebelum membuka tirai prestijnya.

Jadi Mancini percaya akan ada sebuah lagi pasukan yang akan mencabar kejuaraan pada musim baru.

Beliau berkata: “Adakah mereka naik kecut? Saya fi kir begitu. Ketika ini hanya Manchester City yang membeli pemain-pemain baru.

“Namun semua itu adalah biasa kerana Manchester City mahu meningkat dan pasukan lain hanya sebuah pasukan besar yang kelihatan mempunyai ramai pemain.

“Semua pasukan lain memberikan tekanan ke atas kami kerana selama 10 tahun, hanya ada empat pasukan yang mencabar kejuaraan.

“Musim baru ini, ada lima pasukan. Saya fikir semua pasukan ini dalam beberapa tahun ini telah membelanjakan banyak wang.

“Manchester United, Tottenham, Chelsea, Arsenal dan Liverpool tetapi sekarang City juga berbelanja besar. Tiada banyak perbezaannya.”

Dan Mancini percaya City boleh mengambil kesempatan daripada pendekatan berhati-hati yang diamalkan oleh kelab-kelab lain.

Beliau berkata: “Kami mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kejuaraan liga jika kami percaya kepada diri kami sendiri dan melaksanakan tugas. Kami sudah meningkat lebih baik sebagai sebuah pasukan.

“Terpulanglah kepada diri kami sendiri sama ada kami mampu membentuk sebuah pasukan mantap dalam masa yang singkat. Menerusi saya, saya tahu selepas Piala Dunia di setiap negara, ia boleh memberikan situasi yang berbeza dalam liga.

“Jika anda ingat beberapa tahun yang lalu di mana Manchester City masih dalam Liga Championship, maka ia jelas setiap tahun kami harus meningkat lebih baik.

“Tahun lepas kami bersaing untuk tempat keempat sebelum tewas kepada Tottenham Hotspur pada perlawanan kedua terakhir musim. Sasaran tahun ini adalah untuk cuba memenangi Liga Perdana Inggeris. Ia harus menjadi sasaran kami.

“Bola sepak ini pelik, terutama sekali selepas kejohanan Piala Dunia. Saya menunggu untuk membuat penilaian sehingga pasaran perpindahan ditutup dan Liga Perdana Inggeris sudah bermula.

“Kami harus meningkat dengan pemain-pemain baru dan juga beberapa latihan yang dilakukan dalam beberapa minggu. Ia bergantung kepada keadaan tetapi pada fi rasat saya, semuanya bagus.”

Pemilik kaya-raya City pastinya mengharapkan ganjaran lebih besar daripada pelaburan besarnya itu.

Dengan sudah banyak wang dicurahkan , tekanan juga lebih tinggi di City dan Mancini, 45, menjadi calon utama syarikat pertaruhan sebagai orang pertama yang akan dipecat musim baru.

Tetapi beliau menegaskan tidak merasakan diri dalam ancaman (dipecat) dan berkata: “Saya tidak berasa tertekan. Sebelum Menjadi pengurus, saya menjadi pemain selama 11 tahun.

“Saya membimbing Inter selama empat tahun – tiada jurulatih pernah berada di kelab itu begitu lama. Saya membina Inter. Di sana, saya memiliki 24 pemain dengan mentaliti berbeza, pemain yang kuat tetapi ia hanyalah satu tugas.

“Saya mungkin akan terlibat dalam pengurusan untuk 15 tahun lagi, saya pasti saya akan memenangi sesuatu. Ia merupakan kehidupan saya sejak 13 tahun. Saya tidak berasa tertekan.”

Mancini mahu menjadi pengurus pertama yang memberikan kejuaraan kepada City sejak 1976.

Beliau berkata: “Saya mahu mencapai kemenangan di sini kerana kami tidak pernah menang. Bukan untuk saya tetapi untuk penyokong dan kelab. Atas sebab itulah, tugas saya adalah untuk memburu kejuaraan.

“Bagi penyokong dan pemain, mereka telah memberikan segala-galanya untuk kelab ini. Untuk mereka, saya mahu memenangi trofi musim ini dan saya fikir semua orang mengimpikan perkara ini.

“Dalam tempoh dua tahun saya di Inter, kami menjadi kuat kerana kami tiba pada satu peringkat di mana kami bekerja keras dan mengharungi banyak kesukaran. Saya berharap ia adalah sama di sini. Anda tidak akan menang jika anda tidak berusaha walaupun jika anda membeli pemain-pemain yang bagus.

“Anda memerlukan pemain dengan sikap dan mentality yang baik. Saya berasa yakin dan saya fikir tahun ini pastinya hebat.”

City Mempunyai permulaan musim yang sukar apabila menentang Tottenham dan Liverpool tetapi Mancini berkata pasukannya sudah bersedia untuk perlawanan hebat itu. – AFP