Sarawak catat 332 kes kematian

0

48 peratus daripadanya penunggang atau pembonceng motosikal, 29 peratus pemandu atau penumpang kereta dan 9 peratus pejalan kaki

KUCHING: Jumlah kes kematian yang disebabkan kemalangan jalan raya pada 2009 di Sarawak mencatatkan 332 kes dengan 48 peratus daripadanya penunggang atau pembonceng motosikal, 29 peratus pemandu atau penumpang kereta dan sembilan peratus pejalan kaki.Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sarawak Rano Alwino Akat berkata walaupun perangkaan tahap kemalangan yang dicatatkan di negeri ini masih lagi di tahap rendah namun jika tidak dicegah pada peringkat awal bakal menyumbang kepada permasalahan sosioekonomi.

Beliau tidak menafikan pertambahan kadar sebanyak 45 peratus keluarga yatim dan ibu tunggal serta 55 peratus orang kurang upaya (OKU) saban hari diakibatkan oleh kecelakaan jalan raya.

“Peningkatan yang tidak sihat ini boleh menyebabkan kesan negatif dalam negara dalam jangka masa panjang kerana berkemungkinan kerajaan bakal menambah pungutan hasil cukai atau menaikkan harga tol bagi membantu golongan ini,” katanya ketika merasmikan seminar keselamatan ‘respect your limit’ kali kedua anjuran bersama Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

Beliau memberitahu anggaran jumlah kerugian sosioekonomi yang dicatatkan di negeri ini adalah RM3.697 juta diakibatkan oleh 3,081 kematian semasa kemalangan dari 2000 sehingga 2009.

“Bukan itu sahaja, malah hospital kerajaan terpaksa membelanjakan RM43.80 juta (RM120,000 seorang) setiap tahun untuk membiayai kos rawatan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), ubatubatan, lawatan doktor pakar dan rawatan susulan,” katanya.

Rano turut menyuarakan kebimbangan dengan pembinaan jalan raya sepanjang 403 km menghubungkan bahagian utara sehingga selatan negeri ini berikutan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menjelang 2015, populasi Sarawak akan bertambah sehingga 3.5 juta orang, oleh yang demikian pendedahan yang konsisten mampu menyelamatkan rakyat daripada menjadi mangsa.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada pemandu kenderaan berat tentera, bas dan lori menghadiri kempen ‘Respect Your Limits’ itu semalam.

Sejak kempen ini diperkenalkan pada 2008 kadar kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat menurun sebanyak 5.5 peratus bagi lori atau jentera berat dan 21.7 peratus oleh pemandu bas.

Pada masa yang sama, Rano turut menyatakan pendekatan secara dekat (individu) digunakan kepada pemandu van sapu (haram) tanpa menggunakan kuasa penguatkuasaan diharap dapat membantu kesedaran awam bagi menangani operasi tanpa lesen dan permit yang sah.

Katanya pihak JKJR berharap kerjasama bersepadu bersama agensi kerajaan dan swasta dalam tempoh lima sehingga 10 tahun akan membuahkan hasil.

Pengarah Bahagian Dasar dan Pemantauan JKJR Malaysia Sahipulhijaiman Sulaiman turut berpesan agar tayar ditukar sekali dalam tempoh dua hingga tiga tahun untuk jaminan keselamatan di atas jalan raya.