Dr Mahathir harap hukuman pesalah rogol dikaji semula

0

GEORGE TOWN: Kerajaan wajar pertimbangkan peng­gubalan undang-undang baru untuk pelaku jenayah rogol kerana undang-un­dang sedia ada sudah begitu lama dan keadaan sekarang pula jauh berbeza dari da­hulu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang banyak por­nografi dan gambar-gambar lucah mudah didapati oleh semua orang, jadi apabila mereka lihat gambar ini mereka boleh hilang akal, sehingga tidak tahu yang baik dan yang buruk,” katanya ketika mengu­las cadangan umum yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah rogol.

Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan ucap utama pada Multaqa Yang Dipertua Perkim bersama Guru-guru Pendidikan Islam dan warga Perkim peringkat Zon utara di Kompleks Tabung Haji di sini. Beliau adalah Yang Dipertua Perkim.

Pendapat umum itu merupakan maklumat balas yang diperoleh daripada cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh yang meminta kera­jaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar per­ogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati.

Mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, huku­man bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 ta­hun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Dr Mahathir berkata kera­jaan juga boleh mengambil tindakan dengan membuat sekatan terhadap kemasu­kan gambar-gambar lucah di laman siber dan meminta masyarakat antarabangsa supaya tidak memuat naik bahan berkenaan.

“Dahulu kita larang, walaupun kita tiada kuasa undang-undang di Internet tetapi daripada segi teknolo­gi, kita boleh padam semua bahan seperti itu.

“Sekarang ini apa yang menjadi pengaruh luar telah jadi pengaruh dalaman,” katanya. — Bernama