Sunday, October 2

Kenangan terindah buat anak-anak yatim Sarawak

0


KUCHING: Seramai 30 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (Peryatim) dan Salvation Army rata-ratanya meluahkan rasa gembira yang tidak terkira dan berterima kasih kepada Cats FM dan Resorts World Genting atas penganjuran program bertemakan ‘For The Love Of Our Children’.

Anak-anak yatim gembira, berterima kasih kerana diberi peluang melawat Resorts World Genting

Program dianjurkan selama tiga hari itu yang bermula pada Jumaat lalu telah disempurnakan dengan jayanya.

Menurut Saiful Siabai, 11, dari Kampung Datuk, Sibu, yang merupakan salah seorang daripada kanak-kanak yatim itu, dia tidak pernah menyangka akan dapat pergi sejauh ini.

“Saya berasa seronok dan tidak mahu balik kerana kami tidak pernah bermain permainan seperti ini.

“Saya tidak percaya dapat naik kapal terbang dan saya rasakan bagai satu mimpi yang menjadi nyata,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui selepas tamat program itu.

Dia yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik beradik dan bercita-cita untuk menjadi doktor berharap dapat bersama-sama Cats FM sekali lagi untuk menyertai program lain.

Manakala Mohd Farid Jamalul, 11, dari Kuching, meluahkan rasa seronok kerana dapat bersama-sama rakan pergi ke tempat yang jauh.

“Saya tidak pernah pergi sejauh ini dan dapat melihat Semenanjung Malaysia.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bapa angkat saya Mohd Redzuan Safuan kerana menjaga saya sepanjang program ini,” tambahnya.

Farid turut menyatakan bahawa suatu hari nanti dia pasti akan memijak kaki di situ lagi (Genting) bersama keluarganya.

Anyna Nurul Janan, 13, dari Lubok Punggor, Simunjan, pula memberitahu pengalamannya yang tidak dapat dilupakan dan ia akan menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.

“Saya sebelum ini tidak pernah merasakan seronok sebegini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Datin Hanifah  kerana beliau turut memberi kami wang untuk kami berbelanja di sini,” jelasnya.

Manakala salah seorang daripada kakitangan Cats FM Norafidza Mohiden, 41, yang merupakan ibu angkat kepada Adibah dan Amira semasa program tersebut, meluahkan perasaan gembira kerana dapat turut serta dalam program itu.

“Saya seronok bersama anak-anak angkat saya kerana kami dapat meluangkan banyak masa untuk bermesra dan mengenali antara satu sama lain lebih rapat lagi.

“Mereka juga selesa dengan saya dan cepat mesra dengan saya yang menyebabkan saya merasakan mereka ini seperti anak sendiri,” katanya.

Norafidza berharap agar program kebajikan seperti ini dapat diteruskan oleh Cats FM mahupun syarikat swasta yang lain demi kebajikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik seperti itu.