K’jaan cuba tingkat bekalan tenaga kerja bagi sektor pembantu rumah dari Thailand, Filipna dan India
ROMPIN: Bagi memenuhi permintaan perkhidmatan pembantu rumah di negara ini, kerajaan akan mendapatkan bekalan tenaga kerja itu daripada negara-negara Asia lain.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kerajaan kini berusaha meningkatkan bekalan tenaga kerja bagi sektor pembantu rumah daripada negara pembekal yang lain seperti Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Filipina dan Burma.
“Kita akan mengadakan perbincangan berhubung pengambilan pembantu rumah dengan negara-negara berkenaan dan saya sendiri akan pergi ke negara itu bagi melihat potensi dan persefahaman tenaga kerja sebagai pembantu rumah di sana,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis ramah mesra dan jamuan Hari Raya di Dewan Orang Ramai Muadzam Shah dekat sini semalam.
Maznah berkata sebagai permulaan, beliau akan berkunjung ke Thailand dan Kemboja bagi melihat persefahaman dan meningkatkan langkah untuk mempromosi perkara itu.
Usaha itu perlu memandangkan kewujudan pembantu rumah dari dua negara itu di Malaysia tidak sepopular pembantu rumah dari Indonesia, katanya.
“Kita terpaksa memilih negara alternatif lain kerana kebergantungan kepada satu-satu negara kadang-kala akan menimbulkan kekangan dan masalah sekiranya berlaku sesuatu isu,” katanya.
Mengenai pembantu rumah Indonesia, Maznah berkata rundingan antara kedua-dua negara masih diteruskan. — Bernama