Kerajaan akan siasat punca himpunan kayu hanyut di Sungai Rajang

0

SIBU: Kerajaan akan menjalankan siasatan berhubung punca sebenar yang membawa kepada fenomena himpunan kayu hanyut di Sungai Rajang yang telah ‘melanda’ bandar ini semalam.

TINJAU: Wong (kiri) bersama Tiong melihat sendiri fenomena himpunan kayu hanyut di Sungai Rajang di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kejadian itu merupakan satu fenomena yang pelik dan tidak pernah berlaku.

“Kita tidak boleh memandang ringan masalah ini. Kejadian ini juga tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa,” ujarnya kepada pemberita selepas melihat keadaan di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Timbalannya Daniel Ngieng Kiong Ann serta Jurutera Jabatan Kerja Raya, Vincent Tang.

Wong yang juga Menteri Kewangan II berkata, himpunan kayu yang hanyut itu boleh membawa kemusnahan serius kepada sistem ekologi sungai di sepanjang Sungai Rajang.

“Masih terlalu awal untuk menentukan langkah yang patut diambil. Kita perlu melihat perkara ini bagi mencari jalan penyelesaian selepas keadaan kembali pulih,” katanya.

Menurut Wong lagi, mereka akan memikirkan cara bagaimana untuk membersihkan kayu yang menyekat aliran sungai, sebelum ia membahayakan pengguna sungai.

Beliau juga merayu kepada operator bot agar memandu bot mereka dengan perlahan dan berhati-hati bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Jika perlu, jangan gunakan sungai buat sementara waktu dan tunggu keadaan pulih sepenuhnya,” tambah Wong.Sungai Rajang, sungai terpanjang di negara ini iaitu 563 kilometer dari puncanya, merupakan nadi pengangkutan bagi kawasan tengah Sarawak.