Ayuni, Suryani bidik emas buat negara

0

Kejayaan tamatkan kemarau emas Malaysia dalam sukan menembak sejak 1998

NEW DELHI: Skuad menembak negara akhirnya memecah kebuntuan pingat emas dalam temasya Sukan Komanwel apabila gandingan Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohd Taibi menjuarai acara 10m air rifle berpasangan di sini semalam (Sabtu).

NUR SURYANI MOHD TAIBI

Gandingan negara itu menghadiahkan emas keenam negara dengan mengumpul 793 mata, hampir melepasi rekod 795 mata yang dicipta oleh India pada edisi 2002 di Manchester, England.

Penembak wanita itu menamatkan kemarau emas dan menebus kekecewaan pada dua temasya itu sebelum ini apabila kali terakhir negara membidik emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada 1998.

Edisi 2002 di Manchester, England dan disusuli di Melbourne, Austrlia empat tahun kemudian, Malaysia gagal meraih emas baik dalam kategori lelaki mahupun wanita.

“Kami telah menyudahkan cabaran dengan baik dengan rakan sepasukan (Nur Suryani) memang menunjukkan kehandalannya. Saya sungguh bangga kerana berupaya melakukan apa yang terbaik untuk pasukan dan negara,” kata Nur Ayuni bangga.

Jurulatih negara Saidov Isroil berkata beliau bangga dengan pencapaian anak buahnya itu.

“Saya bangga bukan sahaja kerana menang emas tetapi keputusan yang cemerlang. Lagipun ini kali kedua dalam sejarah Sukan Komanwel, Malaysia menang emas dalam acara menembak selepas kali terakhir pada 1998,” katanya. — Bernama