Cadangan Kampung Budaya Borneo rancakkan industri kraf di utara S’wak

0

MIRI: Cadangan untuk membangunkan Kampung Budaya Borneo (BCV) di sini dijangka akan merancakkan industri kraf tangan di utara Sarawak khasnya dalam usaha mempromosi pembuatan manik-manik tempatan.

Menteri Pelancongan dan Warisan, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, untuk tujuan itu kerajaan sudah mengenal pasti kawasan seluas 100 hingga 200 ekar tanah di Lambir, kira-kira 30 minit dari bandar raya Miri.

“Setakat ini projek itu masih di bawah perancangan memandangkan ia memerlukan peruntukan yang banyak. Namun kita sudah mendapat gambaran jelas mengenai BCV iaitu ia mengutamakan ciri-ciri Orang Ulu yang dilengkapi dengan kilang menghasilkan manik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Manik Antarabangsa Borneo (BIBCO) 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Majlis Kraf Dunia Usha Krishna, Kurator Manik Muzium Sarawak Heidi Munan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Andy Chia dan Datuk Bandar Miri Lawrence Lai.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, dengan adanya BCV ia memudahkan pengusaha-pengusaha manik tempatan mempromosi serta memasarkan produk buatan tangan itu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Penduduk Miri terutama kaum Orang Ulu begitu terkenal dengan pembuatan manik yang begitu indah dan unik. Sehubungan itu, kerajaan serius membantu mereka untuk mempromosi manik sekali gus menambah sumber pendapatan,” katanya.

Mengenai BIBCO, Dr Chan berkata ia menyediakan platform kepada pengusaha manik untuk menampil dan meningkatkan potensi serta nilai manik-manik tempatan selain peluang memperkenalkan hasil kraf tangan kaum etnik di negeri ini.

Beliau berbangga dengan pemilihan Miri sebagai hos buat julung kalinya dan berharap acara berprestij tinggi itu akan terus diadakan di sini.

Dalam pada itu, Dr Chan mencadangkan pengusaha manik terutama di Ulu Baram agar menjejaki semula manik warisan nenek moyang mereka yang tinggi nilainya untuk dijadikan idea dalam menghasilkan corak manik yang baru.

“Setakat ini Indonesia menghasilkan manik berdasarkan manik-manik peninggalan nenek moyang mereka yang berusia ratusan tahun. Jadi, apa salahnya jika pengusaha tempatan mempraktikkan idea ini seterusnya memelihara warisan itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Chan dalam ucapannya mengingatkan pengusaha manik di negeri ini agar memasarkan produk yang asli, buatan tangan dan berkualiti sahaja.

“Ini amat penting untuk memastikan produk manik di Sarawak dapat menembusi pasaran antarabangsa. Janganlah menggunakan jalan pintas iaitu menjual manik tiruan kerana ia hanya menjejaskan imej kita,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, walaupun manik tiruan yang dihasilkan menggunakan mesin lebih cepat dan banyak, namun nilai pasaran dan kualitinya amat rendah berbanding manik buatan tangan.

Sementara itu, hampir 200 peserta termasuk pakar dalam industri manik dari Australia,  Singapura, Indonesia dan Filipina berkampung di Hotel Parkcity Everly sepanjang BIBCO yang bermula semalam hingga hari ini.

Antara peserta ialah pensyarah dan Penulis dari Amerika Syarikat Jamey Allen, pakar manik nyonya Dr Cheah Hwei Fen dari Australian National University, pereka barangan kemas manik moden Yekti Kusmartono dari Jakarta, Indonesia dan pakar manik masyarakat Dayak Eileen Paya Foong dari Universiti Curtin Sarawak.

Selain itu, Pengarah Muzium Sarawak Ipoi Datan, Kurator Manik Muzium Sarawak Heidi Munan, pakar kebudayaan kaum Orang Ulu dan Kelabit Dr Poline Bala dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta penulis dan kurator muzium dari Filipina David Baradas.

Objektif utama BIBCO ialah untuk menampil dan meningkatkan potensi dan nilai manik-manik tempatan selain peluang memperkenalkan hasil kraf tangan kaum etnik di negeri ini menghasilkan produk manik.