Saturday, August 13

Pandelela kebanggaan negara

0

Kejayaan jaguh terjun Sarawak raih emas di India janjikan sokongan berterusan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) berikrar untuk terus menyokong serta membantu jaguh terjun kebangsaan kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong Pamg dalam mengembangkan kerjayanya dalam sukan terjun.

WAJAH EMAS: Pandelela mengibarkan Jalur Gemilang selepas memenangi emas acara terjun platform 10 meter pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi kelmarin.

Selepas meraih pingat emas sulung negara dalam acara terjun platform 10 meter wanita pada Sukan Komanwel di New Delhi malam kelmarin (Isnin), pencapaian cemerlang Pandelela di pentas dunia sekali lagi menggamit tumpuan, sekali gus meletakkan gadis kecil molek keturunan Bidayuh ini sebagai atlet kebanggaan negara.

Selepas memenangi pingat perak dalam acara terjun berirama 10 meter bersama-sama dengan Leong Mun Yee sehari sebelum itu, kejayaan terbaru Pandelela ini nyata mengangkat pencapaian gadis yang baru berusia 17 tahun ini ke satu tahap kecemerlangan yang baru.

Kegigihan Pandelela menjalani latihan intensif di Kunming, China ternyata tidak sia-sia dengan kejayaannya itu, sekali gus meneruskan prestasi membanggakan beliau apabila meraih pingat perak dalam acara platform 10 meter wanita pada Sukan Olimpik Belia di Singapura pada bulan Ogos lepas.

“Pihak kementerian akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pandelela. Kita membuat keputusan untuk memberikannya insentif serta pengiktirafan di atas pencapaian cemerlangnya itu,” ujar Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Dato Sri William Mawam Ikom di sini semalam.

Mawan menganggap kejayaan Pandelela itu sebagai satu kejayaan yang cukup cemerlang buat negeri ini khasnya dan negara amnya dan beliau yakin sinar gemerlapan atlet terjun itu menjanjikan masa depan yang cerah buat dirinya dalam sukan terjun, termasuk menjanjikan penajaan lumayan dari kalangan syarikat korporat.

Mawan sendiri melihat kedudukan Pandelela sebagai setanding dengan jaguh-jaguh sukan negara seperti Datuk Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei yang meraih pendapatan lumayan daripada perjanjian penajaan.

Apa yang pasti, masa depan cerah sedia menanti Pandelela serta keluarganya dalam meningkatkan taraf hidup mereka selain menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet Sarawak dalam mengejar impian yang sama.

Mawan turut berharap lebih banyak publisiti diberikan kepada Pandelela ketika beliau beraksi di pentas antarabangsa.

“Kita akan sentiasa memantau perkembangannya sepanjang masa dan membantu beliau dalam meningkatkan prestasinya. Memandangkan beliau adalah kebanggaan kita, KPSU sememangnya tidak akan hanya duduk dan lihat sahaja. Kita tidak akan membiarkannya keseorangan,” tegas Mawan yang turut menganggap pencapaian pingat perak Pandelela di Singapura sebagai setara dengan pingat emas yang dimenanginya di Delhi 2010.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Francis Nyurang Ding pula melihat Pandelela sebarang ‘produk’ Sarawak dan berbangga dengan kejayaan yang dinikmati oleh gadis Bidayuh berusia 17 tahun itu.

“Kita berasa amat gembira walaupun kejayaannya itu memang sudah dijangka,” ujar Francis semalam.

“Kita telah mencapai sasaran pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Beliau merupakan salah satu ‘produk’ negeri ini. Namun bukan MSNS sahaja yang memainkan peranan, sebaliknya ia adalah satu usaha bersama semua pihak termasuk jurulatih, ibu bapa dan juga kerajaan negeri,” ujarnya.

“Sarawak sememang berasa cukup bangga dengan kejayaannya itu, beliau telah mewakili negara dan memenangi pingat emas. Ini membuktikan beliau adalah yang terbaik dari kalangan yang terbaik,” puji Francis.

Menyentuh insentif kewangan di atas pencapaiannya itu, Francis berkata: “Insentif kewangan memang akan diberikan namun jumlahnya akan ditentukan kelak.”