Chong Wei pertahankan emas

0

NEW DELHI: Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel 2010 apabila menewaskan pemain England Rajiv Ouseph pada perlawanan akhir perseorangan lelaki di sini semalam.

TEPATI RAMALAN: Chong Wei menayangkan pingat emas yang dimenanginya untuk Malaysia bagi acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan komanwel di New Delhi, semalam. Beliau mudah mengenepikan cabaran Rajiv Ouseph dari England 21-10, 21-8. — Gambar Bernama

Chong Wei, pemain badminton nombor satu dunia, dengan mudah mengenepikan lawannya yang menduduki ranking ke-17 dunia, 21-10, 21-8, dalam perlawanan berat sebelah di Kompleks Sukan Sri Fort di sini.

Chong Wei, 27 mengambil masa hanya 26 minit untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Beregu utama negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong turut menyumbang pingat emas untuk Malaysia dalam acara badminton beregu lelaki pada hari terakhir Sukan Komanwel semalam.

Mereka menewaskan pasangan England James Roberston dan Anthony Clark 21-19, 21-14 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini, untuk menyumbang emas ke-12 bagi Malaysia pada temasya sukan itu kali ini.

Kien Kiat juga menyumbang satu lagi emas menerusi acara beregu campuran apabila berpasangan dengan Chin Ee Hui mengalahkan gandingan dari England, Jenny Wallwork dan James Nathan 22-20, 21-12.

Sementara itu, skuad hoki lelaki negara mencatatkan rekod paling buruk dalam sejarah Sukan Komanwel selepas mengakhiri saingan pada Sukan Komanwel 2010 di sini dengan menduduki tangga kelapan daripada 10 negara.

Malaysia hanya mampu mencipta satu kemenangan apabila menewaskan Scotland 2-0 pada peringkat kumpulan sebelum tewas dengan tuan rumah India 2-3, Pakistan 1-4 dan Australia 0-7.

Pada perlawanan penentuan tempat ketujuh, Selasa lalu, Malaysia tewas 2-3 kepada Kanada.

Dalam perlawanan akhir semalam, juara bertahan Australia mengekalkan pingat emas dengan membelasah India 8-0 sementara New Zealand menduduki tempat ketiga.

Pada temasya Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Malaysia memperoleh pingat gangsa. — Bernama