Kompos sebagai teknologi hijau

0

Pembuatannya dapat mengurangkan bahan buangan di Kuching, Samarahan

BAU: Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian mencadangkan pembuatan kompos sebagai teknologi hijau bagi penyelesaian masalah peningkatan bahan buangan di  bahagian Kuching dan Samarahan.

JAGA KEBERSIHAN: Nansian membuang sampah ke dalam tong sampah sebagai simbolik perasmian majlis itu semalam.

Beliau percaya dengan kaedah itu ia dapat mengurangkan jumlah bahan buangan dan sisa makanan dari dapur dan rumah yang dibuang ke tapak pembuangan sampah setiap hari.

“Adalah dianggarkan hampir 600 tan bahan buangan dibuang ke tapak pembuangan sampah oleh penduduk dari kawasan Kuching dan Samarahan setiap hari.

“Ia merupakan jumlah di-hasilkan oleh 700,000 penduduk di situ. Daripada jumlah 600 tan sampah, hampir 45 peratus atau 50 peratus adalah bahan buangan makanan dan dapur.

“Jika bahan buangan ini dibuat sebagai kompos dan baja, maka kita akan dapat menjimatkan ruang yang begitu banyak dalam tapak pelupusan dan tapak pembuangan kita akan dapat bertahan lebih lama,” katanya.

Nansian, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kebersihan, Kempen Anti-Denggi dan Program Kesedaran Local Agenda 21 (LA 21) di Majlis Daerah Bau dekat sini semalam.

Beliau berkata pembuatan kompos merupakan satu kaedah teknologi hijau yang boleh dimajukan di negeri ini.

Antara contoh-contoh lain teknologi hijau ialah projek mekanisme pembangunan bersih, kitar semula bahan buangan dan kaedah 3R (penggunaan plastik mudah reput, minyak masak terpakai dan rawatan air kumbahan).

Beliau turut mencadangkan kitar semula tayar terpakai bagi mengurangkan pembuangan tayar terpakai di Sarawak.

“Dianggarkan 6,000 tan tayar terpakai dibuang setiap tahun di Sarawak dan ia tidak termasuk tayar-tayar terpakai di kawasan projek besar seperti projek Bakun dan sebagainya,” tambahnya.

Nansian turut menekankan aspek pengurusan air sungai bagi memastikan bekalan air bersih daripada dicemari oleh bahan kimia, bakteria, lumpur dan pasir akibat daripada aktiviti penanaman secara komersial.

“Ada kalangan kita masih bergantung kepada sungai-sungai di sekitar Bau sebagai tapak aktiviti perikanan dan sumber mata pencarian.

“Sekiranya ia tercemar, musnahlah tempat bertelur dan membiak hidupan air kita dan sekali gus menjejaskan sumber makanan dan pendapatan kita,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar masyarakat umum bertindak sekarang bagi melindungi alam sekitar dan sumber-sumber asli daripada pencemaran dan kemusnahan.