PAS undi tentukan calon pilihan raya kecil DUN Galas

0

KOTA BAHARU: PAS akan menggunakan kaedah mengundi dalam menentukan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 Nov depan.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kaedah itu biasa dilakukan bagi menentukan calon yang benar-benar layak atau sesuai walaupun beliau diberi mandat sebagai kata pemutus dalam menentukan nama calon.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata tiga nama telah dikenal pasti dalam senarai pendek calon PAS yang akan diletakkan dalam pilihan raya kecil DUN itu.

“Kita akan menentukan dengan cara wakil dari Dewan Harian dan Badan Perhubungan mengundi pada kertas kosong dan menulis dengan nama Allah bersama nama calon yang dipilih sebelum saya membuat keputusan.

“Cara demikian dapat mengelakkan ada perwakilan berasa segan terhadap calon yang tidak terpilih,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini semalam. — Bernama