Taib syukur, berterima kasih kepada PM

0

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas mengenai pembentangan Bajet 2011 semalam.

JUBLI PERAK: Taib menandatangani plak jubli perak Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak sambil diperhatikan oleh Mortadza (kiri) dan Jalani (dua kiri).

Menurut Taib, Najib amat sensitif terhadap keperluan rakyat Sarawak.

“Alhamdulillah… Perdana Menteri amat sensitif terhadap keperluan Sarawak… beliau tahu prasarana luar bandar perlu dibangunkan.

“Itu sebabnya beliau memberi projek NKRA bernilai RM4 bilion kepada kita dan RM93 juta untuk SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) sebab SCORE memerlukan pelaburan yang banyak untuk membina prasarana namun pulangan pelaburan tersebut adalah amat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak.

Katanya, RM93 juta tersebut akan digunakan untuk tujuan membina jalan, lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan untuk menarik minat pelabur ke SCORE.

Dalam pada itu, pembentangan bajet semalam antaranya menyaksikan Sarawak menerima peruntukan RM1.2 bilion untuk bekalan air dan elektrik luar bandar dan RM2.1 bilion untuk Sarawak dan Sabah untuk membina dan menaik taraf jalan di luar bandar.

Terdahulu, Taib semalam turut menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan perbahasan tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi Baram yang berjaya menewaskan SMK Kubong Limbang.

Taib ketika berucap memuji pencapaian para pembahas yang terlibat dalam pertandingan akhir tersebut.

“Alhamdulillah saya bangga sekali… mereka (pembahas) telah dapat menjalankan topik perbahasan bukan sahaja dengan cukup baik dan menunjukkan bakat yang tinggi tapi boleh dikatakan setanding dengan taraf pelajar universiti,” katanya.

Dalam pertandingan itu, ketua pembahas dari SMK Marudi Baram Paula Bermas Judan dinobatkan sebagai pembahas terbaik.

Sementara itu, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak semalam mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai satu-satunya stesen radio yang menerbit dan menyiarkan pertandingan bahas selama 25 tahun berturut-turut.