Dua lagi mayat ditemui

0

Enam disahkan terkorban setakat ini, 17 mangsa terselamat

BINTULU: Dua lagi mayat mangsa tragedi bot karam di Sungai Anap, Tatau dekat sini ditemui semalam, menjadikan jumlah yang disahkan terkorban setakat ini enam orang.

SEBAK: Ahli keluarga seorang mangsa dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Anap, Tatau tidak dapat menahan kesedihan apabila pasukan pencari dan penyelamat menemui mayat.

Mayat pertama, perempuan, di-kenali sebagai Bermas Victor Julan, 26, dijumpai pada jam 1.20 petang, terapung di permukaan sungai di tempat kejadian.

Sejam selepas itu, mayat Lily  Manggie, 38, dijumpai di kawasan yang sama.

Mayat-mayat mangsa tersebut dihantar ke Hospital Bintulu sejurus dijumpai.

Mayat pertama daripada empat mangsa yang ditemui kelmarin di-kenal pasti sebagai Jennifer Yak, 10 bulan. Bayi perempuan itu dijumpai tidak lama selepas bot ekspres yang dikenali dengan nama ‘Liang Yu’ itu karam.

Manakala, tiga lagi mayat dijumpai terperangkap dalam badan bot pada kira-kira jam 8.30 malam dan 9 malam.

Mereka terbabit dikenali sebagai Miyas Renggan, perempuan, 70, dari Rumah Engka Kakus; Wilfred Ukir Salleh, lelaki, 56, dari Rumah Sudan, Sibu; dan Wong Siew Guan, lelaki, 21, Durin Sibu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh, ketika ditemui di tempat kejadian, di kem pembalakan Kelebu mengesahkan 17 orang mangsa terselamat.

Seramai 14 mangsa daripada jumlah yang selamat terdiri daripada Zamhari Azmi, 39, Chai Ngim Fat, 39, Mohammad Dol, 44, Elizabeth Ang Dian, 28, Enes Oliver Suping, 2, Hellena Mena, 3, Jekson Ukit, 39, Silvia Jakcon Kasim, 21, Emila Jekson, 1, Cio Jok, 50, Dayang Rezalina, 27, Silo Gerenang, 58, Ebie Biju, 35, dan Sim Chi Liang yang tidak diketahui umur.

Katanya, berdasarkan laporan yang dikemukakan ahli-ahli keluarga mangsa, seramai lima orang masih hilang.

Mereka terdiri daripada Amilia Peter, 3, Lenny Ibun, 9, Alicia Emilda, 5, Empam yang umurnya tidak diketahui, dan Peter, 28,.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, bot ekspres yang dalam perjalanan dari pekan Tatau ke hulu Kakus terbalik dan karam apabila tersangkut pada tali sebuah bot yang menunda tongkang kayu balak tanpa muatan.

Bot malang itu dikatakan cuba memintas bot penunda yang juga dalam perjalanan ke kawasan hulu sungai, ketika berada di selekoh di depan kem pembalakan Kelebu, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Bintulu.

Mohmad berkata, setelah tersangkut tali tersebut bot ekspres terbabit dilanggar tongkang kayu balak menyebabkannya karam.

Katanya, setakat ini operasi mencari mangsa yang dilapor hilang diteruskan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada polis, kakitangan Pejabat Daerah Tatau, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Setakat ini, kami mengenal pasti 21 penumpang dalam bot itu. Tetapi jumlah sebenar penumpang tidak boleh dipastikan seka-rang kerana bot itu mengambil penumpang sepanjang perjalanan,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta penduduk di kawasan itu yang ke- hilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis dengan se-gera.

Sementara itu, Ketua Polis Tatau Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata operasi mencari dan menyelamat bermula sejurus kejadian berlaku dan dihentikan kira-kira pada jam 10.30 malam kelmarin.

“Operasi mencari mangsa dimulakan semula kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam),” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan kira-kira jam 7 malam dan disambung pagi ini.