Aktiviti Innospace perlukan penyertaan pihak swasta

0

KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memohon kerjasama daripada pihak swasta untuk terlibat dalam aktiviti Innospace (Gerbang Inovasi) yang baru dilancar semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata perkongsian awam dan swasta untuk membiayai program Innospace amat diperlukan bagi memastikan pusat inovasi komuniti ini terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat tempatan.

“MOSTI berharap pihak swasta akan terlibat dalam menyokong aktiviti pusat  ini kerana Innospace adalah untuk golongan akar umbi dan untuk memastikan ia terus berjalan lancar kami amat mengharapkan pembiayaan akan dibuat melalui inisiatif perkongsian awam dan swasta.

“Syarikat multinational, bank-bank tempatan dan Kelab Rotary dialu-alukan supaya tampil untuk bersama-sama menjayakan Innospace untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis pelancaran Innospace Sarawak semalam.

Innospace Sarawak merupakan pusat inovasi yang pertama di negara ini.

Menurut beliau Innospace akan menyediakan ruang dan kemudahan untuk membantu pereka cipta membangunkan idea, membuat prototaip dan modeling.

“Di Innospace pereka cipta akan diberi khidmat nasihat dan pakar rujuk, menyediakan latihan mengenai kreativiti dan inovasi serta membantu mempromosi dan menjalinkan hubungan dengan pihak-pihak berkaitan bagi membangunkan produk akar umbi dan memasarkannya,” katanya.

Tambahnya, pegawai SIRIM di Kuching akan sentiasa memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada bakal-bakal pencipta .

“Innospace juga akan menyediakn latihan khusus berkaitan kreativiti dan inovasi yang akan diberikan oleh agensi-agensi seperti Majlis Reka Bentuk Malaysia, Perbadanan Produktiviti Negara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurutnya bagi pereka cipta yang memerlukan pengkhususan yang spesifik dan lebih tinggi teknologinya, MOSTI akan merujuk pereka cipta tersebut ke pusat-pusat kecemerlangan berkaitan.

Penubuhan Innospace Sarawak yang menelan belanja sekitar RM1 juta itu merupakan satu pusat inovasi terulung diwujudkan di negara ini bagi kegunaan komuniti tempatan.

“MOSTI bercadang mengadakan projek ini di tiga wilayah lagi di negara ini iaitu di Sabah, Pahang dan Labuan,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Dato Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Datuk Yahaya Ahmad.

Innospace Sarawak terletak di Bangunan SIRIM Taman Perindustrian Demak Laut Jalan Bako dan dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.