Kuching rampas Piala Sarawak

0

Pasukan pilihan terpaksa berhempas-pulas atasi BDR FC dalam penentuan penalti

KUCHING: Suasana gamat menyelubungi Stadium Negeri Petra Jaya, di sini petang semalam apabila pertemuan “buku dengan ruas” antara pasukan elit, Kuching dan pendatang baru kelab dari Samarahan, BDR FC pada perlawanan akhir Piala Sarawak 2010 berlangsung penuh sengit lagi mendebarkan.

JUARA: Posa (kiri) dan kapten Kuching, Samsul Napiah menerima replika cek dan trofi daripada Abang Johari (dua kanan) sambil disaksikan Sudarsono (empat kiri) di Kuching semalam. Kuching muncul juara Piala Sarawak setelah menewaskan BDR FC di final.

Kedua-dua pasukan yang mendapat sokongan padu hampir 7,000 penonton dan peminat setia bola sepak tempatan beraksi dengan penuh semangat kesukanan tinggi dan memberikan persembahan terbaik.

Walau bagaimanapun, pengalaman menjadi garis pemisah di antara kedua-dua pasukan apabila Kuching akhirnya muncul juara setelah menewaskan BDR FC 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 sepanjang 120 minit saingan.

Dengan kemenangan itu, Kuching bukan sahaja merampas kembali piala berprestij itu bahkan turut menerima hadiah wang tunai RM10,000.

“Kami sesungguhnya berasa sungguh bangga dan gembira dengan kejayaan merampas semula Piala Sarawak musim ini. Kejayaan manis itu adalah berkat usaha gigih semua pemain yang telah membuktikan kemampuan mereka,” kata pengurus pasukan Kuching, Posa Majais.

Posa mengakui anak-anak buahnya tertekan ketika mempertahankan pendahuluan satu gol hasil jaringan Macswyzee Riot sebelum BDR FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerangnya, Abang Mohd Zafari Abang Othman.

Kedua-dua pasukan terus terikat 1-1 ketika perlawanan berlarutan sehingga ke masa tambahan, sekali gus menyebabkan kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

“Walau bagaimanapun, nasib ternyata menyebelahi kami apabila pemain BDR FC, Sufizal Ismail gagal menyempurnakan sepakan penalti yang memberi kelebihan buat kami bergelar juara Piala Sarawak musim ini,” katanya.

Sehubungan itu, BDR FC (Samarahan) tidak balik dengan tangan kosong apabila membawa pulang sebuah piala dan wang tunai RM5,000 selaku naib juara.

Malah kekecewaan mereka sedikit sebanyak terubat setelah kapten Abang Mohd Zafari dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pengurus pasukan BDR FC, Iskana Bujang berkata walaupun gagal merangkul juara, mereka tetap berbangga kerana berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak berprestij itu.

“Sememangnya kami kecewa kerana gagal merebut peluang untuk merangkul juara. Namun saya tetap berbangga dengan kejayaan kami melangkah kaki ke final Piala Sarawak musim ini,” katanya.

Dalam itu, penyerang utama Sarawak, Zamri Morshidi yang menyarung jersi Kuching telah diumumkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Wan Abdul Wahab Wan Sanusi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Soedirman Aini dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman.