Saturday, August 20

Saya bertanggungjawab kepada rakyat S’wak : Taib

0

MUKAH: “Saya bertanggungjawab kepada rakyat Sarawak dan hanya melakukan yang terbaik untuk mereka walaupun terpaksa berhadapan kritikan pedas pembangkang,” demikian tegas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

KERAJAAN BANTU: Taib bertemu dengan mangsa tragedi bot karam di Pejabat Daerah Tatau, semalam.

Menurut beliau, perjuangan politik pembangkang tiada definisi jika sekadar melalak yang kononnya menghujahkan isu-isu semasa serta mempromosikan propaganda, tanpa bertindak untuk mensejahterakan rakyat.

“Andai terpaksa berdepan kritikan hebat pembangkang sekali pun, saya rela. Saya hanya melakukan yang terbaik untuk rakyat. Marahlah macam-macam, saya tidak peduli. Kesejahte-raan rakyat lebih penting daripada melayan kerenah pembangkang.

“Dua cuping telinga saya bersedia mendengar segala masalah rakyat. Walaupun begitu, permasalahan rakyat yang saya dengar akan diperhalusi. Permohonan-permohonan untuk pembangunan akan dinilai berpandukan keuta-maan serta kewajaran,” jelas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu menyatakan demikian semasa beliau berucap merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Peringkat Negeri (Bahagian Mukah) di The Grand Kingwood Resort, di sini semalam.

Seminar dua hari itu bertemakan ‘Kepimpinan Akar Umbi Teras Pembangunan’ yang disertai oleh 284 ketua kaum di Bahagian Mukah dan dianjurkan oleh Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM).

Menekankan disiplin sebagai penanda aras kredibiliti seseorang pemimpin akar umbi, Taib mengingatkan bahawa pembangunan tidak mampu berjalan lancar tanpa kerjasama erat para pentadbir dengan masyarakat setempat.

“Jatuh bangun negeri ini di tangan kita sendiri. Kemajuan pesat sekarang tidak harus berhenti sekerat jalan. Jangan biarkan generasi masa hadapan menikmati pembangunan yang alang-alang. Pastikan taraf hidup mereka lebih baik berbanding kita pada hari ini.

“Justeru, pemimpin akar umbi perlu sealiran dengan kerajaan. Kejujuran, keikhlasan dan sikap yang betul akan memastikan masyarakat pimpinan maju dari segi fikiran serta tidak terpinggir daripada arus perdana pembangunan,” tambahnya.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad, ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie serta ADUN Daro Murni Suhaili juga turut hadir di majlis tersebut.