Kadar harga jalur lebar kekal

0

K’jaan tidak merancang turunkan harga langganan di negara ini dalam waktu terdekat

TERTARIK: Taib menyaksikan kanak-kanak mengendalikan komputer riba pada Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Padang Merdeka, Kuching semalam. Turut kelihatan Salang (berdiri tiga kanan).

KUCHING: Kerajaan tidak merancang untuk menurunkan kadar harga langganan jalur lebar di negara ini dalam waktu terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata tindakan itu hanya akan menjejaskan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang disediakan oleh syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya untuk membekalkan perkhidmatan komunikasi khasnya jalur lebar, syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan itu pastinya menggunakan kos yang begitu tinggi.

“Kita harus sentiasa ingat, untuk membekalkan apa jua perkhidmatan dan dalam konteks ini jalur lebar ia membabitkan kos yang tinggi.

“Kalau kerajaan menekan atau menetapkan kadar harga langganan jalur lebar, apa pula pendapatan pemberi perkhidmatan ini.

“Apa yang akan berlaku akhirnya ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti,” katanya.

Terdahulu beliau  mengiringi Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melawat Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Padang Merdeka di sini.

Menurutnya kerajaan memberi kelonggaran kepada pengusaha atau pembekal perkhidmatan telekomunikasi swasta di negara ini mendapatkan sedikit keuntungan tetapi bukan keuntungan yang keterlaluan.

“Ini penting sebagai memberi galakan kepada syarikat pembekal perkhidmatan ini menyediakan perkhidmatan yang betul-betul bagus untuk rakyat,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun mengakui kadar bayaran minimum RM35 hingga RM38 bagi langganan jalur lebar dianggap mahal bagi golongan berpendapatan rendah.

“Memang benar bagi yang miskin RM35-RM38 sudah mahal tetapi kalau dibandingkan dengan faedah diperolehi sebulan ia cukup berbaloi,” ujarnya.

Salang memberitahu syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar menawarkan pelbagai pakej dengan kadar bayaran serta kemudahan yang berbeza bagi membolehkan pengguna membuat pilihan.

Mengenai liputan dan penyaluran perkhidmatan jalur lebar di Sarawak, Salang  berkata setakat ini purata liputan dan penyalurannya ialah sebanyak 27 peratus berbanding 53.5 peratus di peringkat kebangsaan.

“Walaupun tiada sasaran khusus kita mensasar Sarawak akan mencapai peratusan liputan dan penyaluran jalur lebar setanding dengan peringkat kebangsaan sekarang, pada masa akan datang… itu sudah dikira cukup bagus.

“Ini kerana Sarawak mempunyai jumlah populasi luar bandar yang masih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia,” jelasnya.