Peruntukan dimanfaat untuk pembangunan wanita, keluarga, pendidikan dan latihan: Fatimah

0

KUCHING: Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah semalam berkata kementeriannya akan memanfaatkan peruntukan yang diperolehi untuk pembangunan wanita, keluarga, pendidikan dan latihan pada tahun depan.

TEMU RAMAH: Fatimah ditemu ramah selepas selesai sesi pagi Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks DUN di sini semalam.

Menurut beliau, kementeriannya akan berusaha memperolehi peruntukan yang banyak daripada kerajaan persekutuan, selain daripada kerajaan negeri untuk menjalankan program kemasyarakatan yang dirancang.

Katanya, antara fokus kementeriannya ialah membangunkan usahawan-usahawan wanita bagi membolehkan mereka memper-olehi pendapatan yang tinggi, melalui usaha memperluaskan pasaran produk.

“Bukan mudah untuk kita mencapai matlamat memberikan pendapatan tinggi kepada usahawan-usahawan wanita kita.

“Ia harus diperkukuhkan pengeluaran dan pasarannya, baik di peringkat tempatan, kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Fatimah yang juga pengerusi Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) berkata kementeriannya turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu memperkasakan golongan wanita dan kanak-kanak Penan.

“Kita mendidik mereka agar mereka lebih tahu menjaga kese-lamatan dan apakah peranan mereka supaya lebih berwaspada terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya usaha tersebut bukan sahaja tertumpu pada golongan wanita Penan, tetapi juga merangkumi keseluruhan masyarakat negeri ini.

Dalam pada itu, katanya pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan iaitu dengan melahirkan generasi berpendidikan dan berkemahiran.

Jelasnya lagi, di kawasan luar bandar, usaha memperkasakan guru turut dilaksanakan bagi memastikan mereka (guru) mampu menjadi pelatih terbaik kepada para pelajar.

“Kita bukan sahaja perlu melahirkan ramai individu berpendidikan tinggi, tetapi pada masa sama kita juga perlu mempunyai kumpulan teknikal.

“Maka, kita harus mengubah pemikiran pelajar dan ibu bapa supaya tidak memandang rendah terhadap ilmu kemahiran,” katanya.

Terdahulu, Fatimah ditemui selepas selesai sesi pagi Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks DUN di sini semalam.