UMNO serah kepada pemuda Orang Asli buat laporan kepada SPRM: Zahid

0

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mereka yang menerima wang daripada Menteri Besar Kelantan ketika program kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang sumbangan secara terbuka kepada pemuda Orang Asli pada majlis mesra rakyat di Pos Sandrop, Gua Musang semalam bercanggah dengan apa yang dilakukan PAS sebelum ini.

“Biarlah dilaporkan oleh penerima itu sendiri, kita tidak mahu campur tangan urusan SPRM dan kita yakin SPRM mempunyai bukti dan fakta yang cukup,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Laksamana Pertama (Kehormat) kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata sikap terdesak PAS semakin ketara apabila Nik Aziz sendiri mengetepikan imejnya sebagai seorang Menteri Besar dalam kempen di Galas setelah mendapati pengaruh Barisan Nasional (BN) semakin kuat di sana.

“Orang Kelantan dah tahu (penipuan PAS) dan ini perlu ditamatkan. PAS akan menggunakan apa sahaja cara untuk menambat hati para pengundi Cina, Orang Asli setelah tahu pengaruh BN yang semakin kuat di sana yang mencakupi seluruh sasaran,” katanya lagi.

Menyentuh fatwa terbaru PAS yang mengharamkan penerima bantuan kerajaan negeri menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang, Zahid berkata, ia hanyalah tindakan terdesak PAS.

“Dulu dalam poster mereka, boleh ambil kain, gula dan bantuan dari BN, tetapi undi mesti undi PAS, kenapa bila kerajaan negeri beri sumbangan, tidak boleh pula undi BN. Ini menunjukkan PAS semakin terdesak,” tegasnya. — Bernama