Insentif bakar semangat Nur Ayuni tampil lebih baik

0

KUALA LUMPUR: Insentif RM80,000 yang diterima penembak kebangsaan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) baru-baru ini memberi lonjakan semangat kepada remaja itu untuk beraksi lebih baik pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan.

NUR AYUNI

Nur Ayuni menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Komanwel di New Delhi bulan lepas apabila meraih emas dalam 10m ‘air rifle’ berpasangan wanita, bergandingan dengan Nur Suryani Mohamed Taib dan pingat perak menerusi kategori individu.

Penembak kebangsaan berumur 19 tahun itu akan bertanding dalam acara yang sama kategori berkumpulan pada temasya di Guangzhou yang bermula 12 hingga 27 November ini.

“Alhamdullilah atas imbuhan yang saya terima. Rasanya berbaloilah pengorbanan saya selama ini, tak boleh cuti, tak boleh balik rumah.. Insentif ini juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberi yang terbaik pada Sukan Asia,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Tujuh atlet menembak termasuk Nur Ayuni menerima insentif Shakam berjumlah RM340,000, hasil kejayaan pasukan itu membawa pulang tiga emas, empat perak dan tiga gangsa pada Sukan Komanwel New Delhi.

Bagaimanapun, anak kelahiran Pahang itu berkata beliau akan lebih memberi tumpuan untuk mengatasi rekod terbaiknya 397 mata yang diperolehi pada Kejohanan Dunia di Jerman tahun lepas, berbanding mengejar pingat.

“Sukar untuk mensasarkan pingat (pada Sukan Asia) kerana saingan memang hebat terutama dari China, Korea dan Jepun,” katanya.

Beliau yang kini menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram), akan berlepas bersama pasukan menembak kebangsaan ke China pada Rabu depan.

Dalam perkembangan lain, ketua kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong meminta skuad kabadi meningkatkan prestasi pada temasya yang bakal berlangsung di Guangzhou, China itu, sekali pun akan berdepan dengan pasukan yang jauh lebih kuat.

Beliau berkata walaupun agak mustahil untuk Malaysia mengatasi nama besar seperti Pakistan, India dan Iran yang juga mempunyai kelebihan daripada segi saiz fizikal, ia tidak bermakna skuad negara tidak berpeluang meningkatkan pencapaian. — Bernama