Jalan dari Sg Poyan ke Sembiling atasi kesesakan jalan di Limbang

0

KUCHING: Dr Abdul Rahman Ismail (BN-Bukit Kota) berharap agar kerja pembinaan jalan alternatif dari Kampung Sungai Poyan ke Kampung Sembiling dilaksanakan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan di Limbang.

Menurutnya, projek pembinaan jalan tersebut sebenarnya sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 disebabkan kesesakan jalan di bandar Limbang yang hanya mempunyai satu jalan masuk dan jalan keluar.

Selain itu, beliau turut berharap agar jalan dari Kampung Kampung Ipai ke Kampung Pandam dapat disiapkan untuk membolehkan perkhidmatan feri dimulakan.

“Ini (perkhidmatan feri) boleh dimulakan tetapi  memerlukan pembinaan sebuah jalan penghubung terlebih dahulu iaitu dari Jalan Bukit Lubuk menuju ke Kampung Seberang Kedai dan seterusnya ke kawasan bertentangan dengan Jalan Sungai Kaban di mana feri ini dapat beroperasi.

“Saya berharap jalan ini akan dapat dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10 supaya perkhidmatan feri dapat dimulakan,” katanya ketika membahas Bajet Nege-ri Sarawak 2011 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri pada 1 November lepas.

Beliau semalam turut mencadangkan pembinaan sebuah lagi jambatan merentasi Sungai Limbang daripada Bukit Lubuk menuju ke Bandar Baru Limbang sebagai penyelesaian jangka masa panjang.

Katanya, dengan terbina-nya jambatan tersebut, ia dijangka akan dapat mempertingkatkan aktiviti ekonomi termasuk pembesaran bandar Limbang.

Membahas berkenaan kemudahan aktiviti perniagaan, beliau mencadangkan agar Tamu Jumaat Limbang dipindahkan ke tempat baru yang lebih selesa serta menyelenggara Pasar Limbang  dan Bangunan Tamu Limbang yang uzur.

Dalam pada itu,  beliau juga berharap penempatan doktor pakar di Hospital Limbang dapat segera dilaksanakan.

Bidang kepakaran yang diperlukan menurutnya ada-lah pakar bedah am, pakar obstetrik dan sakit puan dan pakar kanak-kanak.

“Dengan ini, Hospital Limbang mampu juga menerima pesakit rujukan dari Hospital Lawas dan pada masa yang sama dapat mengurangkan beban di Hospital Miri dan dapat mengurangkan kos perbelanjaan pesakit,” katanya.

Beliau turut berharap agar pembinaan Poliklinik Limbang dan Klinik Desa Kampung Telahak dapat segera dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Pesakit Luar Hospital Limbang.