Japan, China sedia kocak kolam renang

0

HONG KONG, China: Pemenang empat pingat emas Sukan Olimpik, Kosuke Kitajima akan mengepalai cabaran Jepun di kolam renang semasa Sukan Asia tatkala pasukannya sedia untuk bersaing menentang musuh utama, China.

China dan Jepun berkongsi 16 pingat emas dalam acara renang pada Sukan Asia 2006 di Doha dengan Korea Selatan — diketuai Park Tae-Hwan — ketinggalan jauh di tempat ketiga.

Kitajima tiba di Sukan Asia Guangzhou dengan prestasi memberangsangkan, memenangi acara 100 dan 200 meter kuak dada pada Kejohanan Renang Pan Pasifik di Irvine, California pada bulan Ogos.

Beliau adalah salah seorang daripada 29 perenang, kurang sembilan berbanding jumlah atlet yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Jepun.

“Sukan Asia adalah pertandingan paling penting tahun ini. Sebagai pasukan yang akan dicabar, kami membentuk satu kumpulan pasukan elit kecil,” kata Koji Ueno, ketua pasukan renang.

Selain Kitajima, yang memenangi pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter kuak dada pada Sukan Olimpik Athens 2004 dan mengekalkan kejuaraan di Beijing, perenang utama dari Jepun termasuk juara kuak lentang 100 meter, Junya Koga dan Ryosuke Irie.

Aya Terakawa adalah perenang pilihan dalam acara kuak lentang wanita selepas menamatkan saingan di tempat kedua untuk acara 50 dan 100 meter di Pan Pasifik.

Kitajima mencipta rekod dunia dalam acara 200 meter kuak dada pada Sukan Asia di Busan pada 2002, di mana beliau juga memenangi acara 100 meter sebelum mengulangi dua kemenangannya pada Sukan Olimpik 2006.

Bercakap tentang prestasinya di Pan Pasifik, Kitajima berkata: “Ia memberikan saya banyak keyakinan. Ia adalah hasil daripada cara latihan baru saya.”

Sementara itu, pasukan tuan rumah, China menghantar 56 perenang ke Guangzhou, dengan ketua jurulatih Yao Zhengjie mengharapkan sokongan padu daripada penonton tuan rumah.

“Walaupun pasukan renang Jepun sangat kuat, kami perlu memastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk menewaskan mereka. Kami mahu dan perlu menewaskan Jepun di tanah air kami sendiri. Kami yakin akan mengatasi mereka,” katanya.

China, pesaing utama Jepun di kolam renang, akan diketuai Zhang Lin, pemenang pingat perak 400 meter gaya bebas Olimpik dan juara dunia 800 meter gaya bebas.

Dalam acara 1,500 meter gaya bebas, Sun Yang, juga memburu kemenangan.

Liu Zige, juara Sukan Olimpik dan pemegang rekod dunia dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita, tidak akan beraksi di Sukan Asia kali ini sekali gus bermakna harapan China akan dipikul oleh naib juara Sukan Olimpik 2008, Jiao Liuyang.

China juga cukup kuat dalam acara berpasukan, memenangi acara 4×200 meter gaya bebas dan 4×100 meter rampaian pada kejohanan dunia di Rom tahun lepas.

“Ramai orang berkata perenang kami akan tewas kepada Jepun tetapi saya tidak fikir begitu. Saya berharap kami boleh menewaskan mereka,” menurut Zhang Lin yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar China Daily.

Selain perenang utama, bintang utama di kolam renang mungkin Park, yang menguasai acara di Doha apabila memenangi tujuh pingat, termasuk tiga emas untuk diumumkan sebagai ‘atlet paling berharga’ temasya berkenaan.

Park, yang kemudian memenangi pingat emas Olimpik pertama untuk negaranya dua tahun lalu di Beijing dalam acara 400 meter gaya bebas, memenangi emas dalam acara 200, 400 dan 1,500 meter gaya bebas pada Sukan Asia pada 2006 ketika berusia 17 tahun.

Selepas kesukaran pada 2009 di mana beliau mencapai keputusan hambar pada kejohanan dunia, Park kembali mencipta kemenangan apabila memenangi acara 400 meter gaya bebas pada kejohanan Pan Pasifik, dengan menewaskan perenang dari China, Zhang Lin. — AFP