Dr Chan: SUPP akan pertimbang penyertaan Larry

0

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata parti tersebut akan mempertimbangkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng dalam parti berkenaan.

Katanya, sebarang keputusan adalah berdasarkan sokongan daripada rakyat dan bukan hanya berlandaskan keputusan beliau atau ahli SUPP.

“Kalau saya terima dia (Larry), itu tidak bermakna rakyat akan turut menerimanya… saya mahu masyarakat menerimanya dengan sebulat suara,” katanya kepada media semalam.

Jelas beliau lagi, SUPP bukanlah sebuah parti yang eksklusif sehingga menghalang mana-mana pihak untuk menyertainya.

“Parti ini terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai dan membantu serta berkhidmat untuk rakyat setempat,” ujarnya.

Menurut Dr Chan, menjadi pemimpin kepada rakyat bukan suatu perkara yang mudah kerana dalam dunia politik, ia memerlukan pengorbanan dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat.

“Menjadi seorang wakil rakyat bukan per-kara yang mudah kerana kita memerlukan sokongan penuh daripada rakyat dan bukan hanya bergantung kepada sesetengah pihak,” tambah beliau.

Dr Chan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud yang mahu masyarakat Cina di negeri ini mengemukakan calon pemimpin yang berkebolehan dan mempunyai potensi untuk mewakili mereka dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Taib, walaupun mereka (calon) bukan anggota mana-mana parti, selagi me-reka menyokong kerajaan dan mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, mereka layak menjadi calon untuk mengukuhkan Barisan Nasional (BN).