KBS memfokuskan Sarawak sebagai asas pergerakan memperkasa belia

0

KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memfokuskan Sarawak sebagai asas permulaan dalam pergera-kan memperkasakan belia kata Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Datuk Dr Junaidy Abdul Wahab.

Menurutnya, Sarawak terpilih untuk dijadikan lokasi siri pertama Program Rakan Muda Wawasan Desa (RMWD) Sektor Perbandaraan.

“Ini merupakan siri pertama dari-pada lima siri yang akan kita adakan bermula hari ini dan seterusnya se-hingga akhir tahun.

“Ada dua tujuan program ini diadakan iaitu pertama untuk melangkapkan program-program sedia ada dan kedua adalah untuk merapatkan golongan belia dengan apa yang ada daripada pihak kementerian,” katanya ketika melawat program RMWD dekat sini, semalam.

Menurutnya, program tersebut juga antara lain bertujuan mengembalikan keyakinan dan sebagai tanda sayang pihak belia kepada kerajaan sedia ada.

Beliau juga berkata, belia sekarang sudah muak mendengar ceramah serta leteran yang panjang dan lebih me-minati aktiviti-aktiviti riadah.

“Macam hari ini kita ada menganjurkan street soccer, pameran, pertandi-ngan paintball, memancing, skate board (papan selaju) dan ini merupakan asas-asas yang kita kumpul dan kita fikirkan bermula 12 Mei tahun lalu (menerusi Hari Belia Peringkat Kebangsaan).

“Kali ini pada penghujung bulan Mei 2011… 28,29 dan 30 kalau tak silap saya, kita akan membuat satu program sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan yang agak besar dengan jangkaan kehadiran sejuta belia di Putrajaya,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak KBS mengharapkan kerjasama wakil rakyat dari seluruh negara untuk memastikan jumlah sejuta belia hadir dapat direalisasikan.

“Sekarang banyak aktiviti yang kita agihkan untuk memperkasakan peringkat bawahan, peringkat daerah, persatuan-persatuan belia juga memperkasakan jabatan belia sendiri di daerah-daerah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan statistik terkini, jumlah belia di negara ini adalah 11.4 juta orang atau sekitar 44 atau 45 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan terbahagi kepada dua golongan iaitu belia berpersatuan dan tidak berpersatuan.

“Golongan belia tidak berpersatuan lebih ramai daripada belia yang berpersatuan.

“Dulu mungkin fokus kami adalah belia berpersatuan… sekarang ini kami sudah tidak kisah.

“Belia berpersatuan atau tidak, kita akan ajak bersama-sama kita,” katanya sambil mendedahkan belia tidak berpersatuan merangkumi lebih setengah dari jumlah belia.

Turut hadir adalah ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Samariang Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.