Kejohanan basikal amal masih dibuka untuk penyertaan

0

SIBU: Penyertaan Kejohanan Berbasikal Amal Sibu 2010 anjuran Prudential dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Kelab Sukan Maraton Sibu (SMSC) masih dibuka kepada orang ramai.

Jurucakap penganjur, Joseph Tang berkata, borang penyertaan boleh diperolehi di SMSC yang beralamat di Chai Lai Cafe, Jalan Sanyan.

“Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang pendaftaran dan membuat pembayaran RM10 bagi yuran penyertaan di SMSC,” ujar beliau ketika mengadakan sidang media semalam.

Kejohanan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 28 November ini di Taman Jubli Sibu.

Upacara pelepasan peserta dijangka disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MPS, Daniel Ngieng Kiong Ann.

Objektif penganjuran kejohanan itu, ujar beliau, ialah mengumpul dana bantuan kebajikan untuk disumbangkan kepada pihak yang memerlukan.

Katanya, pihak penganjur menyasarkan kutipan keseluruhan berjumlah RM30,000 yang mana separuh daripadanya akan disumbangkan kepada Persatuan Autistik Sibu.

Kejohanan amal tersebut dibahagikan kepada enam kategori iaitu lelaki terbuka (50 kilometer), wanita terbuka (30 kilometer), lelaki dan wanita veteran (30 kilometer) dan lelaki dan wanita ‘fun cycling’ (27 kilometer).

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM600 serta piala, naib johan (RM500 serta piala), tempat ketiga (RM400 serta piala), tempat keempat (RM350 serta pingat) dan tempat kelima (RM300 serta pingat).

Sementara itu, pemenang tempat keenam hingga kesepuluh akan mendapat hadiah berupa wang tunai RM200 serta pingat setiap satu.

Bagi peserta yang mendapat tempat ke-11 hingga ke-20 pula, mereka akan menerima hadiah wang tunai RM100 serta pingat.

Johan kategori wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran akan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 serta piala.

Naib Johan (RM350 dan piala), ketiga (RM300 dan piala), keempat (RM250 dan pingat) dan kelima (RM200 dan pingat).

Bagi kategori ‘fun cycling’ pemenang dipilih berdasarkan peserta yang tiba awal di garisan penamat dan menerima hadiah berupa pingat serta sijil penyertaan.