Melahirkan modal insan perlu kerjasama semua pihak: Wahab

0

SARATOK: Melahirkan modal insan yang sempurna dalam semua aspek tidak harus dibebankan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya penglibatan semua pihak akan menjadikan misi tersebut lebih mudah dan berjalan lebih lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka merangkap Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Abdul Wahab Aziz berkata, asas dan kunci utama bagi seseorang itu untuk maju serta berjaya pada hari ini ialah pendidikan.

“Hari ini kita harus berasa syukur kerana banyak sekali kemudahan, bantuan dan peruntukan telah disediakan khususnya yang melibatkan proses memajukan diri dalam bidang pendidikan,” ujarnya.

“Namun begitu, kita kecewa kerana kebanyakan peluang yang dibuka ini tidak dihargai oleh golongan sasaran seperti pelajar dan belia berikutan mereka terlalu leka dengan perkara lain yang tidak berfaedah serta menyebabkan mereka lalai dan kurang memberi penekanan kepada betapa pentingnya dunia pendidikan.

“Sebagai orang tua, kita harus menyedarkan golongan ini secepat mungkin sebelum mereka hanyut lebih jauh lagi kerana peluang yang terbuka ini tidak selalunya wujud.”

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) 2010 bagi Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Bahasa Malaysia, Saratok di sini, semalam.

Wahab berkata, pada setiap tahun terdapat peningkatan terutamanya dari segi kemasukan pelajar dari daerah Saratok ke institut pengajian tinggi di negara ini, namun begitu kemajuan dalam bidang akademik tidak bermakna sekiranya disiplin golongan ini berada pada tahap yang tidak memuaskan seperti kerap menimbulkan masalah.

Oleh yang demikian, beliau menyeru masyarakat agar berganding bahu dalam membimbing golongan tersebut menuju ke arah modal insan yang serba lengkap dan sempurna dalam semua aspek.

“Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita di sini peka dan sedar bahawa pendidikan memainkan peranan yang cukup penting dalam memperkembangkan diri khususnya dalam mempertingkatkan sosioekonomi,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 300 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru sekolah terbabit dan berlangsung di Dewan Sri Semerbak sekolah tersebut.

Sementara itu, Wahab berkata penduduk daerah ini harus berasa bangga kerana pada hari ini hampir 85 peratus masyarakatnya telah mempunyai kemudahan asas yang lengkap sama ada dari segi bekalan air, elektrik mahupun jalan.

“Ini merupakan petanda bahawa taraf ekonomi penduduk di sini berada di tahap yang memberangsangkan berikutan perkembangan dan pembangunan khususnyadalam sektor pertanian seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Bahasa Malaysia Saratok, Rahim Abas berkata majlis itu bertujuan untuk meraikan pelajar Tingkatan Enam Atas yang akan tamat sesi persekolahan tidak lama lagi.

Pada majlis tersebut, Wahab turut menyampaikan cek bernilai RM20,000 kepada pihak sekolah terbabit.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Saratok Kambli Zulkipli, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bahasa Malaysia Saratok Radzaal Uji, Pegawai Penerangan Daerah Saratok Norliza Isahak dan ketua-ketua masyarakat di kawasan berkenaan.