Baram ditenggelami banjir

0

Ribuan penduduk Long Panai, Long Bemang terjejas selepas kawasan mereka dinaiki air sedalam enam kaki

TERJEJAS: Antara rumah panjang di Long Panai dan Long Bemang yang ditenggelami air sedalam enam kaki selepas Sungai Apoh melimpah.

MIRI: Ribuan penduduk di Long Panai dan Long Bemang di Baram termasuk sebuah sekolah menengah terjejas selepas kawasan mereka ditenggelami air sejak dua hari.

Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu di kawasan hulu Baram  dan hujan semalaman yang turun dengan lebat di kawasan Long Panai telah mengakibatkan paras air di Sungai Apoh naik dengan mendadak dan menenggelamkan beberapa kawasan rendah di sepanjang tebing sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok berkata, setakat petang semalam, paras air sudah mencecah sedalam enam kaki menyebabkan penduduk di kawasan terbabit, terjejas sepenuhnya.

“Kerajaan akan memantau situasi banjir ini dari masa ke semasa termasuk menempatkan penduduk ke kawasan yang selamat sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Lihan yang baru pulang meninjau kawasan banjir menggunakan helikopter menambah, langkah memindahkan penduduk di kawasan berkenaan ke tempat selamat bukan perkara mudah memandangkan sebahagian daripada mereka tidak sanggup meninggalkan kampung.

“Setakat ini kita akan melakukan apa yang patut termasuk memberi bantuan untuk penduduk kampung sehingga keadaan air kembali surut,” katanya lagi.

Manakala sekolah menengah yang turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Panai. Jika paras air semakin naik hari ini, sekolah berkenaan kemungkinan diarah tutup demi keselamatan para pelajar, katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong ketika dihubungi pula mengesahkan belum menerima laporan banjir melanda kawasan itu.

“Setakat ini kita belum terima laporan mengenai banjir daripada penduduk kampung,” katanya sambil menambah, sebaik sahaja laporan dan aduan diterima, pihak akan segera menghantarkan bantuan kawasan yang terjejas.