Pertahan Tupong, Daud berdoa untuk kesihatan

0

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berdoa untuk kesihatan yang baik bagi membolehkannya untuk mempertahankan kerusi Tupong dalam pilihan raya yang akan datang.

KORBAN: Daud (tiga kanan) kelihatan melapah salah seekor lembu yang dikorbankan semalam.

Daud yang baru kembali bertugas pada 16 November yang lepas daripada cuti sakit, tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan masalah kesihatannya.

“Kesihatan saya kembali normal sekarang. Menurut doktor saya kini mempunyai kesihatan yang baik dan saya sudah kembali ke pejabat sejak semalam (Selasa) walaupun dinasihati doktor untuk membuat kerja ringan dan saya berdoa agar kesihatan yang baik agar dapat berkhidmat kepada rakyat seperti biasa,” katanya.

Beliau turut berkata jika diberi peluang, beliau bersedia untuk bertanding semula untuk kerusi Tupong.

Walau demikian, katanya, beliau tidak pasti sama ada beliau akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi tersebut atau sebaliknya, kerana ia terpulang kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan tersebut.

“Bagi saya, jika diberi peluang untuk mempertahankan kerusi Tupong, saya bersedia tetapi sama ada penyandang dicalonkan semula atau tidak adalah terpulang kepada Ketua Menteri sebagai presiden parti dan Pengerusi Barisan Negeri,” katanya.

Daud yang merupakan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Tupong, berkata kepada pemberita ketika menghadiri majlis pengagihan daging korban di Kampung Kolong 2 Wetan di sini semalam.

Sementara itu, pada majlis tersebut, dua ekor lembu yang disumbangkan oleh Ketua Menteri dan Daud sendiri dikorbankan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung tersebut.

“Adalah sebuah kebiasaan bagi golongan yang berkemampuan untuk menyumbangkan lembu untuk dikorbankan dan diagihkan kepada orang Islam yang lain setiap kali Hari Raya Korban di seluruh negeri.

“Untuk kita di Kawasan Tupong, 12 ekor lembu dikorbankan tidak termasuk yang dianjurkan oleh individu persendirian yang bermula pada hari ini (semalam) hingga Sabtu,” katanya.