Depot bantuan makanan di kawasan kerap banjir

0

MIRI: Kawasan-kawasan kerap banjir di negeri ini akan memiliki depot atau gudang menyimpan bantuan makanan untuk memudahkan pengedaran bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir ketika musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam memberitahu penubuhan depot bantuan makanan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri pada penghujung bulan ini.

“Kita akan buat keputusan berhubung isu ini (depot bantuan makanan) semasa mesyuarat kita pada hujung bulan ini,” jelas Dr Chan yang juga merupakan pengerusi jawatan-kuasa berkenaan.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) St Columba di sini pagi semalam.

Dr Chan memberitahu, kawasan kerap banjir yang dikenal pasti ialah di Ulu Baram, Sibu dan Bau.

Penempatan yang terputus akibat banjir akan segera mendapat bantuan bekalan yang disimpan di depot-depot makanan ini, tambah Chan.

Depot ini akan menyimpan bekalan makanan seperti beras, gula, tepung, susu dan makanan dalam tin yang akan disalurkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Penduduk khasnya yang mendiami kawasan rendah perlu bersedia ber-depan masalah banjir dengan keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Dr Chan mengingatkan mereka supaya sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di kawasan kediaman mereka khasnya untuk mengelak sebarang kecelakaan.