Buang daerah tidak berkesan

0

Kerajaan buat kajian terhadap ISA untuk melakukan pindaan: Hishammuddin

KUCHING: Kaedah buang daerah, mungkin tidak lagi dilihat keberkesanannya untuk mencegah berleluasanya jenayah terutamanya dalam dunia tanpa sempadan masa kini.

Justeru, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementeriannya kini sudah menjalankan kajian terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pindaan mungkin akan dilakukan.

“Cadangan pindaan akta sudah diserahkan kepada peguam negara dan selepas itu kita akan teliti semula sebelum ia boleh dibentangkan di peringkat kabinet.

“Kalau dipersetujui oleh kabinet, kita akan membawanya untuk dibahaskan di parlimen untuk mendapatkan kelulusan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata selagi akta tersebut masih ada dan pindaan terhadapnya belum diluluskan, maka ia masih lagi relevan untuk diguna pakai.

“Selagi akta ada, ia merupakan undang-undang negara. Jadi kita kena patuh kepada undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, pindaan pada sesuatu akta bukanlah perkara mudah kerana ia memerlukan penelitian terperinci yang turut melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti pejabat peguam negara, kehakiman, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), Jabatan Penjara dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Kalau ia untuk kebaikan masa depan kita bersama, perkara yang sukar sekali pun perlu dilakukan dan kita telahpun mula melihat kepada undang-undang yang sudah tidak dapat diguna pakai lagi,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin menyempurnakan Penutupan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Penyerahan Lesen Mesin Cetak serta Permit Penerbitan serta Penyampaian Sijil Pengurusan Pertubuhan, di Tebingan BGS (Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya), di sini.

Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar yang juga ADUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.