Dedahkan golongan muda, jangan sampai hilang pelapis

0

MIRI: Golongan muda seharusnya mendapat pendedahan awal dalam bidang sukan agar tidak kehilangan pelapis masa hadapan.

Justeru, bagi terus menyokong arena sukan khususnya futsal, Akademi Futsal Tri-Unique Miri akan menganjurkan kem futsal yang bertujuan memberi latihan secara sistematik berkaitan sukan terbabit.

Ketua Jurulatih Akademi, Fadillah Ibrahim berkata kem berkenaan terbuka kepada peserta lelaki dan wanita bawah 12 tahun dan bawah 17 tahun.

“Kali ini kita mensasarkan golongan kanak-kanak dan remaja untuk menyertai kem tersebut khasnya mereka yang begitu meminati sukan ini.

“Ia adalah untuk memberi pendedahan berkaitan sukan ini dan mendidik mereka secara sistematik cara pemainan sukan futsal,” jelas beliau.

Katanya, kem futsal itu dianjurkan adalah berdasarkan kepada senario semasa iaitu futsal menjadi sukan kegemaran masyarakat setempat untuk pelbagai anjuran atau program seperti pertandingan.

Ujar beliau lanjut, futsal turut diperkenalkan di peringkat sekolah dan ia menjadi keutamaan akademi tersebut untuk berkongsi pengalaman serta cara permainan yang betul kepada pemain futsal.

“Justeru kita percaya dengan pendedahan sebegini kepada golongan muda terbabit, kita dapat melahirkan pemain yang berkebolehan serta berbakat secara individu atau berpasukan,” tambahnya.

Sementara itu, kem futsal berkenaan akan diadakan pada 28 November ini bermula jam 8 pagi hingga 4 petang dan terbuka kepada 40 penyertaan bertempat di Gelanggang Futsal Piasau Jaya Fasa 2 Miri.

Yuran sebanyak RM35 akan dikenakan bagi setiap penyertaan.

Mereka yang berminat untuk menyertai kem tersebut boleh menghubungi Fadillah Ibrahim di talian 013-8137598, Reduandy (019-4853637), Wan Muhd Syamil (016-8717611), Ren (016-3604997) atau Lee Joon Sion (012-8041199).