Syed Husin nafi ada pergolakan dalam PKR

0

Kes ahli-ahli yang tidak puas hati telah digembar-gembur oleh pihak media arus perdana

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali semalam menafikan wujudnya pergolakan dalam PKR dan mendakwa perkara itu hanya mainan pihak media arus perdana.

Beliau mendakwa bahawa tidak wujud pergolakan dalam PKR tetapi sebaliknya kes seorang dua yang tidak berpuas hati seperti dalam hal pemilihan cabang dan pusat yang digembar-gemburkan oleh pihak akhbar.

“Kita mengakui memang ada beberapa masalah dan sedikit kelemahan, maklum saja kerana kita menerokai jalan yang baru, akan tetapi ini digunakan satu dua kerat calon yang tidak puas hati serta mempunyai agenda sendiri kerana nampak mereka akan menghadapi kekalahan,” katanya semasa merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR di sini semalam.

“Walaupun ada tuduhan mereka (calon) menggunakan politik wang, saya tidak mahu percaya selagi tidak ada bukti sahih,” katanya.

Beliau turut mendakwa kecenderungan pemimpin atau anggota PKR keluar parti kebelakangan ini sebagai perkara lumrah kerana sebelum ini pun ada pemimpin DAP dan PAS yang meninggalkan parti masing-masing.

Dr Syed Husin berkata mereka yang menggunakan media arus perdana untuk menyampaikan perasaan tidak puas hati mereka adalah musuh dalam selimut dan tindakan mereka itu mendedahkan diri mereka sendiri.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenapa jumlah keluar mengundi adalah rendah pada pemilihan pimpinan pusat, beliau berkata anggota parti itu nampaknya lebih berminat kepada pemilihan cabang berbanding dengan pemilihan pusat.

“Lagipun mereka mungkin sudah muak menghadapi pilihan raya demi pilihan raya bermula dari cabang hingga pemilihan pusat,” katanya, dan menambah kata 70,000 ahli mengundi pada pemilihan cabang manakala 30,000 mengundi pada pemilihan pusat.

Selain itu, Dr Syed Husin berkata PKR kekurangan sumber untuk menghantar surat jemputan kepada lebih 400,000 anggota parti untuk menghadiri pemilihan peringkat pusat dan cabang.

“Walaupun sekeping setem berharga 60 sen, bayangkan berapa kosnya untuk dihantar kepada ahli seramai itu dan perlu dihantar dua kali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata susunan Wanita PKR kelihatan lebih mantap dan lebih baik disiplinnya berbanding Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Namun demikian Wanita kelihatan tidak begitu inklusif. Pimpinan Wanita tidak begitu mencerminkan komposisi keanggotaan wanita dalam parti, daripada segi kaum dan latar belakang organisasi asal mereka.

“Kini Wanita mempunyai hubungan rapat dengan sebuah NGO. Saya harap NGO ini dapat memperkuatkan Wanita dan bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata susunan AMK masih longgar dan banyak cabang-cabang tertentu kurang bermaya dan hampir tidak bergerak, di mana ia perlu ditangani dengan selalu berbincang dan melakukan aktiviti-aktiviti bersama dalam parti.

Dr Syed Husin berkata percubaan membentuk Third Force, satu alternatif politik jika terbentuk boleh memberi nafas kepada Umno-Barisan Nasional dan menyulitkan parti pakatan PKR-DAP-PAS untuk mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Syed Husin, yang tidak bertanding mempertahankan jawatannya pada kali ini, berkata beliau akan menumpukan perhatian untuk menulis isu-isu semasa selepas tidak memegang jawatan dalam parti.

“Ada kawan-kawan berkata inilah sebenarnya punca kekecohan (beliau tidak bertanding) yang berlaku dalam pemilihan parti. Saya percaya jikalau saya pertahan jawatan pun, kekecohan mungkin berlaku juga seandai pelakon utamanya serupa,” katanya. — Bernama