Bersama merancakkan sukan futsal

0

Wong seru kerjasama semua pihak melonjakkan sukan itu sehingga ke peringkat antarabangsa

SYABAS: Wong (tujuh kiri) menyampaikan piala pusingan pertandingan kepada pasukan V8 yang bergelar juara di Sibu, petang kelmarin. Turut kelihatan Tajuddin (empat kanan) dan Fauzi (kiri).

SIBU: Kerjasama padu semua pihak dalam menganjurkan sukan futsal mampu melonjakkan sukan itu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh berkata tidak mustahil sukan futsal kelak akan dipertandingkan di pentas antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia malah Sukan Olimpik sekalipun memandangkan ia semakin mendapat tempat di kalangan golongan muda bukan sahaja di negara ini bahkan juga negara-negara lain di seluruh dunia.

“Sukan futsal semakin popular dewasa ini di negara kita ini. Sekiranya ada kerjasama yang erat oleh semua pihak, saya percaya sukan ini boleh berkembang ke negara-negara luar seperti di Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Jelasnya, pihak penganjur perlu lebih kreatif lagi dalam penganjuran sukan ini agar ia dapat diperluaskan ke negara-negara lain.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Futsal Terbuka Piala Pusingan Dato Sri Wong Soon Koh yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Lima di sini, petang kelmarin.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Kelab Rakan Muda Bahagian Sibu, Mohd Tajuddin Yusof, wakil Pegawai Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sibu, Fauzi Dayak dan wakil Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sibu, Awang Mohd Fakar.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari dan berakhir Ahad lepas itu adalah anjuran Kelab Rakan Muda Bahagian Sibu dan disertai sebanyak 33 buah pasukan futsal dari sekitar Sibu.

Dalam pada itu, Wong yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, turut berpendapat sukan ini mampu melahirkan belia yang cergas dan aktif, sekali gus boleh menghindari gejala sosial di kalangan belia.