Hasil jualan produk penjara lebih RM350,000

0

ALOR SETAR: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) berjaya meraih lebih RM350,000 daripada jualan produk yang dihasilkan banduan di seluruh negara melalui program Jualan Infokraf dan Pameran setakat ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Zulkifli Omar berkata angka itu menunjukkan satu perkembangan positif kerana secara tidak langsung ia membayangkan keyakinan pengguna terhadap kualiti produk yang dihasilkan banduan.

“Selain itu dengan keluaran produk ini juga, Jabatan Penjara memartabatkan industri seni kraftangan negara dan tanda sokongan terhadap kempen ‘Beli Barangan Malaysia’,” katanya pada majlis perasmian Infokraf JPM Zon Utara 2010, di sini semalam.

Majlis dirasmikan Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pokok Sena Ahmad Fauzi Awang ketika ditemui pemberita berkata pihak penjara juga menerima tempahan orang ramai.

“Bagi pelanggan yang berminat boleh datang terus ke tapak pameran kami atau terus ke Jabatan Penjara Pokok Sena dan berjumpa dengan pegawai pemasaran kami di pusat pameran dan boleh membuat tempahan,” katanya.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman web www.prison.gov.my bagi membuat tempahan dan melihat contoh produk hasil keluaran Jabatan penjara.

Pameran zon utara itu yang berlangsung di Kompleks Al-Bukhary bermula semalam hingga 8 Dis depan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ia akan disambung di Sungai Petani Plaza bermula jam 9 hingga 15 Dis.

Pameran kali ini yang turut melibatkan Jabatan Penjara Pulau Pinang dan Perak, mempamerkan produk seperti perabot, barangan diperbuat daripada rotan, produk makanan dan barangan besi. — Bernama