Implementasi undang-undang Islam S’wak lemah

0

Dakwaan MAPIM berhubung perkara ini adalah benar dan berdasarkan fakta: Wan ZainKUCHING: Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Wan Zain Syed Mohdzar mendakwa kelemahan implementasi undang-undang Islam di negeri ini adalah benar dan berdasarkan fakta.

“Saya mempunyai keterangan terperinci mengenainya tetapi sekarang bukan masa yang sesuai untuk ditunjukkan kepada sesiapa. Masanya akan tiba dan ramai akan faham peranan dan perjuangan MAPIM.

“Kami percaya terdapat suatu yang tidak betul diimplementasikan oleh undang-undang Islam dan prosedurnya dan kami berniat untuk memberitahu pihak berkuasa berkenaan bagi mengkajinya semula dan bukan untuk menghuru-harakan keadaan, katanya”.

Adalah tidak munasabah dengan memberi keterangan mengatakan MAPIM tidak mempunyai fakta yang sahih untuk menyokong keterangan isu yang dibuat baru-baru ini.

“Saya akan buktikan apa yang disiarkan dalam akhbar adalah berdasarkan fakta. Cuma bersabar dan beri kami sedikit masa lagi.

“Saya akan dedahkan apa yang sahaja yang berlaku sekarang,” jelas Wan Zain.

Beliau memberitahu kumpulan akhbar ini semalam ketika diajukan soalan mengenai komen beliau terhadap kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman baru-baru ini, yang memberitahu MAPIM telah memberi keterangan palsu tanpa sebarang bukti atau fakta berkenaan isu perkahwinan dan perceraian yang melibatkan pasangan Islam di negeri ini.

Baru-baru ini juga, Wan Zain menyalahkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) terhadap bilangan kes perceraian yang kian meningkat melibatkan pasangan berkahwin Islam dalam negeri dengan menyebut: “Ini kerana jabatan secara tidak langsung mengesahkan perkahwinan mengikut adat di luar kawasan Sarawak dan menyebabkan isteri yang dipoligami dengan perkahwinan pertama tiada pilihan selain meminta cerai.”

“Terdapat banyak kes sedemikian berlaku di dalam komuniti kita sekarang dan ia juga banyak berlaku di kalangan pasangan Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau kemudiannya mendakwa kelonggaran yang diberikan JAIS sekarang menyokong si suami yang ingin mengamalkan poligami untuk ke negara jiran bagi menjalankan perkahwinan beradat bersama pasangan kedua.

Beliau turut mendedahkan JAIS bagaimanapun tidak meluluskan sijil perkahwinan atau perkahwinan beradat terbabit oleh badan berkuasa Islam di negara lain tetapi boleh mendaftar semula perkahwinan selepas membayar sejumlah wang denda.

“Selepas membayar wang denda (untuk berkahwin di luar negeri) pasangan itu kemudiannya akan mendaftarkan perkahwinan dengan JAIS dan menjadi pasangan suami isteri yang sah.

“Kesemua proses ini berlaku tanpa perlu meminta kebenaran dan kehadiran isteri pertama ke Mahkamah Syariah yang biasanya wajib,” katanya.

Katanya, ramai wanita yang telah menjadi mangsa keadaan dan ditinggalkan tanpa nafkah oleh suami yang berkahwin dengan isteri kedua secara sah atau mereka akan dipaksa untuk meminta cerai.

Menurut beliau, ramai kaum lelaki yang mahu bertukar pasangan mengambil kesempatan dengan kelemahan sistem undang-undang yang digunakan JAIS sekarang.

Katanya, suami akan membawa pasangan kedua mereka ke negara sempadan dan berjumpa dengan tok kadi bagi mengadakan upacara perkahwinan beradat.

“Kemudiannya, pulang ke tanah air dengan membawa sijil perkahwinan dengan hanya membayar RM7,000 sebagai bayaran denda bagi mengesahkan sijil perkahwinan itu,” ujar Wan Zain.

Untuk menghentikan masalah ini daripada menular, beliau mencadangkan pihak berkuasa agama negeri mewujudkan rangkaian ke negara seberang Indonesia, terutama Kalimantan.

“Khabarkan undang-undang dan bagaimana ia dilakukan di negeri ini.

“Sebagai contoh, pasangan perlu menunjukkan surat kebenaran daripada mahkamah syariah tempatan yang juga merupakan dokumen sah bagi mereka yang ingin mengamalkan poligami.

“Oleh itu, mana-mana pasangan yang tidak memenuhi syarat tidak akan dibenarkan menjalankan upacara perkahwinan di sana.

“Kita juga dapat memastikan sama ada orang yang menjalankan upacara adalah mereka yang berkelayakan.

“Buat masa ini, sesiapa sahaja boleh melakukan upacara asalkan mempunyai sijil kebenaran untuk menjalankan upacara oleh mana-mana imam.

“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada imam terbabit berkelayakan atau tidak,” katanya.