Sunday, July 12

Ujian HIV secara sukarela

0

Pasangan beragama Islam yang mahu berkahwin tidak akan diwajibkan menjalani ujian saringan

KUCHING: Pasangan Islam yang mahu berkahwin tidak akan diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, setakat ini ujian berkenaan dijalankan secara sukarela di negeri ini.

“Pelaksanaan untuk mewajibkan ujian itu belum ada lagi dan kita tengok keadaan di mana di seluruh Malaysia pada amnya pihak Jabatan Agama Islam belum lagi mewajibkannya dan masih dijalankan secara sukarela,” katanya.

Jelasnya, jika pelaksanaan itu diwajibkan mungkin ia akan menyebabkan pasangan yang mahu berkahwin enggan berbuat demikian, yang boleh menyumbang kepada berlakunya perzinaan dan sebagainya.

“Dalam kursus perkahwinan kita juga memberi mereka nasihat berhubung perkara itu dan terpulang kepada mereka menggunakannya atau sebaliknya.

“Kalau ia diwajibkan takut ada risiko lain pula yang akan timbul,” kata Daud.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Kembara Semarak Hijrah 1432 sempena sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Sarawak di pekarangan Bangunan Mahkamah Syariah, Jalan Satok semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Sarawak Ustaz Kipli Yassin, Imam Besar Negeri Sarawak Ustaz Jogi Suhailidan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Abang Shamsuddin Abang Seruji.

Sementara itu ketua rombongan Ahmad Castello, 53, berkata program Kembara Semarak Hijrah sejauh 1,432 Km sempena sambutan Maal Hijrah 1432H peringkat negeri Sarawak yang bakal diadakan di Bintulu nanti.

Jelasnya, ia bertemakan ‘1Malaysia 1Ummah’ anjuran JAIS bahagian Bintulu dan Jabatan Kehakiman Syariah Bintulu.

“Seramai 40 peserta dari Bintulu Bikers Community (BBC) turut serta dalam kembara ini di mana kami bermula pada 27 November lalu dari Bintulu,” katanya.

Tambahnya, objektif kembara itu diadakan adalah sebagai duta kepada jawatankuasa induk majlis sambutan Maal Hijrah dalam memberi publisiti berkaitan majlis tersebut di samping mengekalkan konsep ‘nyeruk’ (mengundang) dari satu bahagian ke satu bahagian.

Selain itu, ia juga memberi pendedahan berkaitan ilmu-ilmu agama kepada peserta serta mempertingkatan minat peserta dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan dan keagamaan.

Beliau turut memberitahu bahawa dalam kembara itu terdapat 14 lokasi persinggahan di beberapa bahagian di negeri ini iaitu Sarikei, Kuching, Samarahan, Sebuyau, Simunjan, Sri Aman, Betong, Kabong, Selalang, Bintangor, Sungai Gemuan, Kanowit, Sibu Jaya dan Sibu sebelum balik semula ke Bintulu.

“Kami juga dapat mengeratkan silaturahim antara sesama peserta dengan penduduk di sekitar Sarawak menerusi kembara ini,” ujarnya.