Guna teknologi tinggi komersialkan produk

0

Ia perlu jika mereka ingin terus kukuh dalam perniagaan serta memasuki pasaran global

SANTUBONG: Golongan usahawan Bumiputera perlu menggunakan teknologi tinggi dalam usaha mengkomersialkan produk mereka jika ingin terus kukuh dalam perniagaan serta memasuki pasaran global.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Mohd Naroden Majais berkata misalnya usahawan keropok, boleh menggunakan mesin pengeluaran yang berteknologi tinggi untuk menghasilkan produk tahan lama yang mampu meneroka pasaran luar.

“Kadangkala ramai di kalangan usahawan kita, hanya membabitkan diri dengan perniagaan berskala kecil dan berasaskan mesin berteknologi rendah dan kebanyakannya secara manual (tenaga kerja) khasnya dalam pengeluaran keropok.

“Namun sekiranya mereka pergi lebih jauh dengan membeli perkakasan seperti mesin memotong keropok misalnya, kertas terbaik sebagai pembungkusan dan menggunakan perunding untuk mereka bentuk bungkusan, saya rasa mereka mampu pergi jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama Politeknik Zon Sarawak di Hotel One Santubong di sini, semalam.

Justeru kata beliau kerajaan amat menggalakkan golongan usahawan Bumiputera khasnya dalam bidang makanan supaya mengkomersialkan produk yang ada, menggunakan mesin pemprosesan berteknologi serta teknik pembungkusan yang betul.

Naroden memberitahu kebanyakan golongan usahawan Bumiputera hanya bergantung kepada bidang yang mereka biasa sahaja seperti perniagaan restoran, makanan dan sebagainya.

“Selain itu usahawan juga perlu mewujudkan rangkaian kerjasama antara satu sama lain terutamanya mereka yang telah mempunyai pasaran di luar negara.

“Dengan itu mereka boleh ‘tumpang’ pasaran bersama mereka yang telah berjaya di pasaran global ataupun vendor, mereka tidak perlu mencari ke luar negara tetapi berkongsi melalui rangkaian yang diwujudkan,” tegasnya yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber.

Katanya usahawan Bumiputera perlu menggunakan bantuan dan sokongan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam membantu mereka memperkembangkan perniagaan termasuk pinjaman.

Mengulas mengenai kursus yang dianjurkan semalam, Naroden berkata ia amat bertepatan pada waktunya bagi memberi pendedahan awal kepada para siswazah terutamanya yang berminat dalam perniagaan.

Katanya pendedahan awal kepada golongan siswazah bakal menyediakan mereka dengan asas dan pengetahuan keusahawanan sejurus sahaja mereka menghabiskan pengajian.

“Saya ingin tekankan kepada siswazah khasnya, bahawa mereka bukan terus menjadi ahli perniagaan esok tetapi selepas tamat pengajian justeru adalah satu langkah baik kepada mereka mengikuti kursus yang diadakan.

“Ia memperlengkapkan mereka dengan pengetahuan dan meninjau potensi pasaran yang lebih jauh malahan mungkin pada waktu mereka tamat pengajian pasaran sudah menjadi semakin besar,” tegasnya.

Kursus selama enam hari bermula 27 November hingga 2 Disember itu disertai 45 pelajar UNIMAS, 22 pelajar Politeknik Kuching dan 22 orang pelajar Politeknik Mukah dan ia merupakan kali pertama menggabungkan pelbagai institusi pengajian tinggi.

Program anjuran Pusat Pemajuan Pelajar Unimas itu turut dihadiri Dekan Pusat Pemajuan Pelajar Profesor Madya Dr Othman Bojo dan Penyelaras Unit Pembangunan Keusahawanan dan Hubungan Industri Profesor Madya Dr Rosni Bakar.