EPL cuba merawat kedukaan England

0

LONDON, England: Bola sepak Inggeris pastinya berharap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menghangatkan seperti biasa pada hujung minggu ini akan dapat sedikit sebanyak mengendurkan rasa kecewa berikutan kegagalan negara itu untuk memenangi hak penganjuran Piala Dunia 2018.

Undian FIFA Khamis lepas (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) di Zurich selain pendedahan England hanya mendapat dua undi, ternyata tamparan hebat buat negara kelahiran bola sepak itu.

Namun tarikan EPL di peringkat antarabangsa tetap tidak pudar dan hujung minggu ini kemungkinan menyaksikan satu lagi lembaran mengujakan dalam perebutan kejuaraan, dengan hanya enam mata sahaja memisahkan lima pasukan teratas menjelang perlawanan terbaru.

Peneraju Manchester United pasti mahu mengekalkan kelebihan dua mata ke atas juara bertahan Chelsea apabila bertandang ke Blackpool malam ini (Sabtu) malah mungkin melebarkan kelebihan itu jika keputusan lain memihak kepada mereka.