Rusia, Qatar cipta kejutan

0

Menangi hak anjur Piala Dunia 2018, 2022 ketika England diaibkan

PEMENANGNYA: Presiden FIFA, Sepp Blatter mengumumkan Rusia sebagai penganjur Piala Dunia 2018 di Zurich, Switzerland semalam. — Gambar Reuters

ZURICH,  Switzerland: Rusia dan negara kecil rantau Teluk, Qatar mencatat kemenangan mengejutkan dalam perebutan untuk menganjurkan Piala Dunia 2018 dan 2022 di sini Khamis lepas (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) selepas tamatnya ‘perang’ bidaan yang sengit malah dibayangi dakwaan rasuah.

Dalam kesudahan yang bersejarah terhadap kegilaan melobi selama dua tahun, Presiden FIFA, Sepp Blatter mengumumkan pemenang yang mengejutkan ekoran undian rahsia membabitkan 22 ahli jawatankuasa eksekutif FIFA di Zurich.

Pengumuman itu bermakna temasya bola sepak teragung di muka bumi bakal dianjurkan di dua buah negara yang tidak pernah menganjurkannya, menyusuli edisi 2014 di Brazil.

Rusia menang dalam perebutan 2018 selepas mengecewakan England yang tersingkir pada undian pusingan pertama lagi selepas memperolehi dua undi sahaja dan bidaan bersama daripada Sepanyol/Portugal dan Belgium/Belanda.

Keputusan itu ternyata kebangkitan yang tidak dijangkakan sama sekali bagi Rusia selepas kempen mereka dipercayai menghadapi masalah setelah Perdana Menteri Vladimir Putin enggan menyertai usaha melobi di Switzerland.

Namun demikian Putin terbang ke Zurich lewat Khamis lepas untuk mengucapkan tahniah kepada FIFA dan pasukan bidaan Rusia di atas keputusan berkenaan.

“Piala Dunia 2018 akan dianjurkan menurut standard tertinggi, stadium moden baru akan dibina tepat pada waktunya dan dengan sempurna. Kami ingin sekali melakukan yang terbaik demi keselesaan dan keselamatan tetamu-tetamu kami,” kata Putin.

“Kami berbesar hati dengan keputusan anda. Dari lubuk hati saya, terima kasih. Bola sepak popular di seluruh dunia terutamanya di Rusia.”

Namun kejutan ‘terbesar’ pada hari itu berlaku dalam perebutan bagi 2022, di mana Qatar menepis saingan sengit daripada Amerika Syarikat (AS), Australia dan dua saingan dari Asia sendiri, Korea Selatan dan Jepun.

Presiden bidaan Qatar 2022, Mohammed Hamad Al-Thani berkata kejayaan negara beliau tidak diduga sama sekali.

“Kami bermula tanpa diberikan peluang kerana bidaan kami tidak konvensional. Tiada sesiapa yang menyangka kami berpeluang memenanginya (bidaan),” katanya.

“Bagi pihak jutaan penduduk yang tinggal di Timur Tengah, terima kasih kepada FIFA kerana memiliki wawasan yang begitu berani. Kita ada temu janji dengan sejarah iaitu musim panas 2022.”

Kejayaan Qatar dicapai di sebalik keraguan serius dibangkitkan oleh satu laporan teknikal FIFA tentang masalah lojistik bagi menganjurkan kejohanan bola sepak itu di rantau Teluk dalam keadaan panas terik pada bulan-bulan musim panas.

Walaupun Qatar berjanji untuk membina pelbagai stadium canggih yang akan memastikan para pemain dan penonton berada dalam persekitaran sejuk dengan iklim yang terkawal, teknologi itu tidak pernah diuji pada skala besar-besaran sebelum ini.

Namun Al-Thani menolak kebimbangan tentang iklim itu sebagai “tanggapan yang salah”.

“Salah satu tanggapan salah yang paling penting adalah Qatar tidak dapat melakukannya kerana keadaan terlalu panas,” katanya.

Namun Qatar, yang tidak pernah bermain dalam kejohanan Piala Dunia, kelihatan menghadapi cabaran yang tinggi untuk meyakinkan para peminat bola sepak yang was-was tentang kewajarannya untuk menganjurkan kejohanan itu.

Malah Presiden AS Barack Obama, yang telah merakamkan rayuan peribadi bagi menyokong bidaan AS yang tewas, mengkritik keputusan FIFA. “Saya berpendapat ia adalah keputusan yang salah,” kata Obama kepada wartawan di Washington.

Para penyokong Australia yang kecewa di Sydney pula lebih berterus-terang.

“Bola sepak sudah mati bagi saya,” kata Jeremy Tom, 26 kepada AFP. “Ini adalah satu penipuan. Kenapa pergi ke Qatar untuk menonton kejohanan dunia? Lawak betul.”

Ke-putusan Kha-mis lepas mela-buhkan tirai kepada salah satu undian Piala Dunia paling kontroversi sejak sekian lama, dengan FIFA menghadapi pelbagai dakwaan rasuah yang menyebabkan dua ahli jawatankuasa eksekutif digantung.

Kemuncak kempen yang diselubungi kemarahan menyaksikan para pegawai Sepanyol dan Rusia mengeluarkan kritikan tersirat terhadap England awal Khamis lepas apabila bidaan masing-masing membuat pembentangan terakhir mereka kepada para pengundi FIFA.

Pegawai England 2018 kecewa selepas kempen melobi besar-besaran yang diketuai Perdana Menteri David Cameron, pewaris takhta Putera William dan ikon bola sepak David Beckham tidak meninggalkan sebarang kesan.

“Menurut FIFA, kami ada pasukan teknikal terbaik, tiada sesiapa yang dapat mengesan sebarang risiko untuk datang ke England. Saya rasa kami ada bidaan komersial paling kuat dan negara kami ghairah tentang bola sepak,” kata Cameron kepada wartawan. “Namun ia ternyata tidak memadai.”

Memburukkan lagi kekecewaan, ia kemudian dimaklumkan England sudah pun tersingkir dalam undian pusingan pertama lagi.

“Apakah yang dapat kita jangkakan? FIFA, bagi diri saya, penuh dengan orang yang berkata ‘ya’ di hadapan anda dan ‘tidak’ di belakang anda,” demikian menurut bekas pengurus England, Graham Taylor kepada Radio BBC. — AFP