Kenyah mungkin hilang identiti

0

Mereka berdepan cabaran hebat saingi budaya lain yang lebih berpengaruhBINTULU: Etnik Kenyah, satu daripada kumpulan dalam komuniti Orang Ulu di Sarawak, hampir-hampir kehilangan identiti mereka jika tiada langkah konkrit diambil untuk memuliharanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan semalam berkata kumpulan itu kini berdepan cabaran lebih hebat untuk menyaingi budaya lain yang lebih berpengaruh.

Bercakap ketika melancarkan Festival Kebudayaan Kenyah PKKS di skim penempatan semula Sungai Asap di Belaga, kira-kira 220 kilometer dari sini, beliau berkata persatuan itu harus melaksanakan tanggungjawab untuk menangani isu itu.

Beliau menyarankan Persatuan Kenyah Kebangsaan Sarawak (PKKS) supaya mewujudkan  pangkalan data untuk mendokumen dan mengenal pasti isu penting yang mempunyai kaitan  dengan agama, budaya, undang-undang adat serta bahasa kaum Kenyah.

“PKKS harus menjalin hubungan dengan institusi penyelidikan, universiti atau individu yang berminat untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan penulisan mengenai kaum Kenyah,” katanya.

Sagan, yang juga penasihat  PKKS, berkata generasi muda kaum Kenyah perlu dilatih dan  diberi kursus mengenai budaya tradisional yang positif agar ia terus berkembang.

Beliau turut memberi amaran berhubung keghairahan yang keterlaluan untuk memberi nafas baru kepada persembahan kebudayaan yang dapat merosakkan ciri-ciri semula jadi persembahan itu.

“Saya pernah menonton beberapa persembahan budaya Kenyah di Kuala Lumpur yang saya dapati tidak dilakukan dengan betul dan perkara ini tidak sepatutnya dibenarkan berterusan,” katanya.

Sagan berkata Festival Kenyah yang merupakan acara tahunan, boleh dijadikan satu lagi tarikan pelancongan dan membolehkan kumpulan etnik berkenaan memberi sumbangan yang berkesan kepada negara.

Kira-kira 3,000 orang daripada kaum Kenyah berhimpun di Sungai Asap untuk menyertai festival tiga hari itu yang bermula semalam. — Bernama