11,000 liter diesel bersubsidi diselewengkan ke ladang-ladang dirampas
MIRI: Sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Miri berjaya mematahkan cubaan menyeludup diesel sekali gus membongkar cara penyelewengan terbaru, yang dilakukan oleh sebuah stesen minyak di sini, pagi semalam.
Dalam serbuan tersebut, pihak penguat kuasa KPDNKK Miri berjaya merampas 11,000 liter diesel bersubsidi dari stesen minyak itu yang terletak di Jalan Pujut-Miri di sini, pada jam 11 pagi, semalam.
Pengarah KPDNKK Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi Utusan Borneo semalam memberitahu kesemua diesel bersubsidi itu yang disimpan dalam enam tong besar dan diletakkan di kawasan belakang stesen minyak berkenaan dipercayai telah disediakan untuk diselewengkan bagi dihantar ke ladang-ladang di luar kawasan Miri.
“Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, diesel bersubsidi yang dirampas itu dipercayai untuk diselewengkan bagi dihantar ke ladang-ladang di luar kawasan Miri,” ujar beliau lanjut sambil menambah rampasan itu dianggarkan bernilai RM18,700.
Katanya, minyak diesel itu dipercayai telah dipam masuk ke dalam tong berkenaan dari stesen minyak tersebut memandangkan semasa pemeriksaan dilakukan terdapat sambungan hos dari stesen minyak ke tong terbabit.
Menurut Wan Ahmad, pada jam 11 pagi itu, pasukan pegawai penguat kuasa dari KPDNKK Miri yang terdiri daripada enam orang dengan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Jubin Janggong telah membuat pemeriksaan biasa ke stesen minyak berkenaan.
“Semasa melakukan pemeriksaan, sepasukan pegawai terbabit telah ternampak satu sambungan hos dari stesen minyak dengan enam deretan tong yang diletakkan di bahagian belakang yang akhirnya membawa kepada penemuan diesel bersubsidi yang dipercayai hendak diselewengkan itu,” katanya.
Berikutan itu katanya, kesemua diesel tersebut kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 bagi kesalahan pertama yang dilakukan individu, dan denda RM250,000 untuk kesalahan kedua,” jelas beliau lanjut.
Manakala bagi syarikat, denda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan denda RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Bagaimanapun menurut Wan Ahmad, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes akan disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Baru semalam juga, laporan akhbar menyiarkan kejayaan KPDNKK menumpaskan satu cubaan penyeludupan diesel subsidi dalam ‘Ops Nano’ bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan merampas 8,000 liter diesel bersubsidi yang bernilai RM10,000 di sebuah jeti di Muara Tebas, di Kuching.
Hasil kejayaan itu, tujuh suspek rakyat tempatan berumur 25 hingga 30 tahun termasuk tiga kakitangan persatuan nelayan tempatan telah ditahan dalam operasi tersebut.
Wan Ahmad memberitahu dalam tempoh 11 bulan tahun ini sebanyak 11 kes penyeludupan diesel subsidi yang melibatkan 259,240 liter dan bernilai RM845,605 telah dirampas (tidak termasuk kes semalam).
Justeru katanya, pihak kementerian itu akan meningkatkan usaha risikan dan penguatkuasaan bagi menangani isu penyelewengan diesel subsidi di negeri ini yang disifarkan semakin serius.