Tiga pertandingan inisiatif ‘hidupkan’ bola sepak di Miri

0

MIRI: Borang untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Liga Petronas Miri yang dijadualkan berlangsung selama enam bulan bermula 15 Januari 2011, kini boleh didapati di Pejabat Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Bahagian Miri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Miri (MiFA), Ariffin Mansur berkata selepas sembilan tahun tiada sebarang penganjuran liga tempatan, maka pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan Liga Petronas.

Kejohanan itu bermatlamat untuk mencari bakat-bakat baru bola sepak untuk diserapkan ke dalam pasukan negeri untuk Liga Malaysia mahupun Sukan Malaysia (Sukma).

Penyertaan terbuka kepada 12 pasukan yang mendaftar awal. Pasukan-pasukan yang bertanding akan turut layak menyertai dua lagi pertandingan iaitu Liga Miri dan Piala Bandaraya Miri yang akan berlangsung serentak.

Ariffin yang juga Pemangku Penolong Pengarah MSNS Miri menjelaskan penganjuran kejohanan turut bertujuan memberi ruang kepada jurulatih tempatan untuk membuktikan kewibawaan dalam membimbing pasukan masing-masing.

“Kita turut menawarkan hadiah kepada pengurusan terbaik pasukan namun jurulatih yang membimbing pasukan itu perlu memiliki sekurang-kurangnya lesen kejurulatihan kelas C,” katanya.

Juara hingga pemenang tempat ketiga bagi Liga Petronas dan Liga Miri masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5000, RM3000, RM1000 selain piala liga dan piala iringan.

Jurulatih dan pemain terbaik dalam Liga Petronas juga dijanjikan hadiah dalam bentuk piala.

Sementara bagi Piala Bandaraya Miri pula, juara dan naib juara masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM3000 dan RM2000 selain piala.

Hariffin menjelaskan pemain elit sama ada dari pasukan Sarawak atau Sukma juga boleh bermain atau menyertai mana-mana kelab untuk turut serta dalam tiga kejohanan itu tetapi perlu berdaftar dengan persatuan terlebih dahulu.

“Kejohanan itu terbuka kepada semua pasukan namun ianya terhad kepada 12 pasukan terawal dan kita menjangkakan sasaran untuk mencari pemain pelapis bola sepak akan tercapai melalui kejohanan itu,” katanya.

Bagi Piala Bandaraya pula, pihak penganjur turut menjemput empat pasukan dari Brunei sejak semalam bagi memeriahkan lagi arena bola sepak tempatan.

Keterangan lanjut berkenaan kejohanan itu boleh menghubungi Ariffin Mansur atau MSNS Miri di talian 085-420708 atau Mohd Saif Juraidi (013-8017187).