Pendidikan kepenggunaan penting bagi warga koperasi

0

MIRI: Pendidikan kepenggunaan penting memandangkan sebahagian besar daripada pengguna di Malaysia adalah warga koperasi.

Koperasi merupakan institusi yang paling sesuai untuk mendidik koperator tentang pendidikan kepenggunaan.

Pengganti Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sarawak (JPAN), Hadijah Kassim berkata anggota koperasi harus mengetahui tentang hak-hak yang ada pada mereka sebagai pengguna.

“Pendidikan pengguna secara amnya membantu anggota koperasi mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bagaimana urus niaga dijalankan dalam kehidupan seharian.

“Pendidikan pengguna di koperasi dapat membantu para koperator mengetahui cara-cara pengguna menggunakan hak-hak mereka bagi menghalang daripada dieksploitasikan oleh peniaga yang tidak beretika,” jelas beliau.

Katanya, pengguna pada hakikatnya mempunyai lapan hak iaitu mendapatkan keperluan asas, keselamatan atau perlindungan, mendapatkan maklumat, ganti rugi, hak membuat pilihan, bersuara, hak mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat.

Beliau menjelaskan perkara dalam majlis penutupan seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi Negeri Sarawak bertempat di Mega Hotel Miri Rabu lalu.

Seminar yang diadakan pada 7 dan 8 Disember berkenaan adalah anjuran bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menurut beliau, pengguna harus bergabung tenaga untuk memperjuangkan hak-hak mereka daripada terus dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam perniagaan.

“Tanpa tindakan pengguna, mereka (pengguna) akan dibelenggu oleh masalah-masalah pengguna yang semakin rumit. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab ANGKASA sebagai badan induk kepada gerakan koperasi untuk menyebarkan pendidikan kepenggunaan di kalangan warga koperasi,” ujarnya.

Pengguna digalakkan supaya sering menyoal tentang kepenggunaan supaya berpengetahuan agar tidak mudah ditipu dalam hak pengguna.

Menurut Hadijah, KPDNKK telah mengumumkan beberapa langkah proaktif dalam membendung kebimbangan pengguna tentang kenaikan harga barang, seterusnya mengawal pasaran daripada ancaman peniaga tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau lanjut, antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan ialah melancarkan kempen pengguna bijak di seluruh negara.

“Melalui kempen ini, mesej utama yang ingin disampaikan kepada pengguna ialah agar mereka mempunyai pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan.

“Manakala, peniaga yang menjual barang pada harga yang tinggi tidak akan disokong,” katanya.

Tambahnya, kempen pengguna bijak tersebut  merupakan strategi bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan mereka sebagai pengguna.

Sementara itu, seramai 111 peserta telah menyertai seminar selama dua hari tersebut dari 36 koperasi di Sarawak.

Majlis perasmian pada 7 Disember telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi JPAN Sarawak Usuf Samah.

Hadir sama dalam majlis penutupan seminar berkenaan ialah Pengerusi Koperasi Wanita Pusat Rabiatul Adawiyah Miri Berhad (Adawiyah), Azlin Ramli dan Pengarah Koperasi Serbaguna Lambir Berhad, Mohamad Putit Pekok.