Jangan tolak tawaran berkhidmat di luar bandar

0

Penuntut lepasan universiti, IPT perlu manfaat peluang untuk menyumbang khidmat kepada penduduk

KAPIT: Pelajar lepasan universiti dan institut pengajian tinggi (IPT) yang lain, dinasihatkan agar tidak menolak tawaran untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, terutama di bahagian Kapit.

Residen Kapit, Dahim Nadot menasihati para pelajar lepasan universiti dan IPT supaya tidak menolak tawaran untuk berkhidmat di kawasan luar bandar seperti Kapit kerana penduduk di sini amat memerlukan khidmat dan pengetahuan mereka.

“Sekiranya pada masa depan, selepas anda semua berjaya menghabiskan pengajian di universiti ataupun IPT sama ada awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS) dan dihantar untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, jangan menolak tawaran tersebut.

“Ini kerana masyarakat di luar bandar amat memerlukan khidmat anda semua,” katanya.

Seramai 80 orang pelajar dari 17 IPTA, IPTS dan Politeknik dari seluruh negara mengikuti program Kembara Kepimpinan Pelajar IPT (PROKKIPT) yang diiringi oleh pensyarah serta krew dan pegawai pengiring menghadiri taklimat ringkas bersama beliau di Kompleks Bletih di sini.

Dalam taklimat berikutnya, beliau turut menerangkan dengan ringkas sejarah Kapit serta perspektif Kapit ketika ini dan masa depannya.

Menurut Dahim, dalam masa empat atau lima tahun akan datang Kapit akan lebih membangun selepas dihubungkan dengan jalan raya yang menelan belanja sebanyak RM700 juta.

“Buat masa ini, Kapit tidak ubah seperti sebuah pulau kerana tiada dapat dihubungkan dengan jalan darat, malah rangkaian internet di sini juga memerlukan penambahbaikan.

“Ketiadaan jalan darat serta pengangkutan udara menyebabkan penduduk di Kapit hanya bergantung kepada bot ekspres dan helikopter sahaja,” katanya lagi.

Hadir sama Penasihat Pelaksana PROKKIPT merangkap Timbalan Naib Canselor (TNC) UNIMAS, Prof Madya Mohd Fadzil Abd Rahman dan Dekan Pusat Pembangunan Pelajar Professor Dr Otham Bojo.