Wednesday, July 24

Kakitangan, pesakit tarik nafas lega

0

Masalah sistem pendingin hawa Poliklinik Tudan sudah selesai

SUDAH SELESAI: Lee (kiri) mendengar taklimat daripada Pegawai Perubatan Poliklinik Tudan, Dr Hartini Ahmad dan Jurutera JKR Miri, Goh Soon Boon selepas meninjau poliklinik tersebut semalam.

MIRI: Lebih 200,000 penduduk di kawasan Tudan dan Permyjaya berasa lega dan boleh tersenyum lebar apabila krisis kerosakan sistem pendingin hawa yang membelenggu Poliklinik Tudan sejak empat bulan lalu, kini sudah selesai sepenuhnya.

Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin berkata sistem penghawa dingin pusat rawatan awam itu telah mula beroperasi baru-baru ini dan ia memberi keselesaan kepada kakitangan dan pesakit.

“Poliklinik ini juga turut menerima kakitangan tambahan termasuk pembantu pegawai perubatan daripada 10 kepada 13 orang bagi memudahkan rawatan pesakit,” katanya semasa meninjau Poliklinik Tudan semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata selain membaik pulih sistem penghawa dingin, Kementerian Kesihatan Malaysia turut melantik kontraktor untuk membaiki tandas.

“Kita juga telah memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) bahagian kejuruteraan untuk mengenal pasti masalah keretakan beberapa struktur bangunan namun kita dimaklumkan bahawa ia tidak membahayakan orang ramai,” ujarnya.

Lee turut menasihatkan supaya pesakit yang mendapat rawatan di situ tidak panik dengan masalah keretakan bangunan berkenaan kerana ia masih dalam keadaan selamat.

Sebelum ini, dianggarkan seramai 600 pesakit yang ingin mendapat rawatan di poliklinik itu setiap hari terpaksa berpanas ketika berada di bilik menunggu.

Kerana tidak tahan dengan suhu panas, beberapa kakitangan sanggup membawa sendiri kipas meja dari rumah ke tempat kerja.

Malahan, Timbalan Ketua Menteri,  Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam telah mengarahkan sebanyak 15 kipas berdiri dihantar ke poliklinik itu untuk kegunaan pesakit dan kakitangan.

Lee juga berharap bahawa poliklinik itu dapat menambah dua lagi pegawai perubatan untuk meringankan beban kakitangan sedia ada dalam merawat pesakit yang kian bertambah.

Beliau turut memohon supaya kerajaan mewujudkan sebuah agensi kerajaan khas yang mentadbir Dana Pengurusan Harta Benda Awam bagi memudahkan setiap kerosakan awam dapat diselesaikan segera.