Hargailah skuad negara

0

Peminat tempatan disaran iktiraf kejayaan julang Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR: Ke­jayaan cemerlang Skuad Bola Sepak Malaysia men­juarai Piala AFF Suzuki buat julung kalinya, selepas mengatasi Indonesia 4-2 menerusi kelebihan agregat di final biarpun kecundang 1-2 pada final kedua, telah menempa sejarah baru un­tuk sukan itu.Presiden Persatuan Penu­lis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa berkata pihaknya merayu agar peminat bola sepak negara tidak keberatan untuk mem­berikan pengiktirafan kepada kejayaan tersebut menerusi sumbangan kepada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki anjurannya.

“Kejayaan anak buah K. Rajagobal ini amat membang­gakan dan sudah menyuntik pelbagai reaksi serta pengikti­rafan, termasuk daripada pucuk pimpinan tertinggi ne­gara namun ia belum mendor­ong pelbagai sektor korporat untuk turut sama memberi­kan pengiktirafan.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan sektor ko­rporat, baik sektor swasta, syarikat persendirian mahu­pun syarikat berkaitan kera­jaan (GLC) menghulurkan sumbangan ganjaran sebagai menghargai sejarah ditempa pemain-pemain ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sehingga kini, SAM berjaya menda­patkan akujanji berjumlah RM88,200 daripada enam syarikat, terdiri daripada Double XL Services Sdn Bhd (RM22,000), WSL (MSC) Sdn Bhd (RM22,000), Aiman

Motor Sdn Bhd (RM22,000), AR Factor Resources Sdn Bhd (RM10,000), SPA Inte­grated Sdn Bhd (RM10,000) dan Kelab Futsal Arena (RM2,200).

Katanya badan korporat dan orang perseorangan boleh menghubungi pejabat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di talian 03-20780985 atau faks di 03-20706294 pada setiap Isnin, Rabu dan Khamis.

Sumbangan boleh juga dibuat dengan berhubung ter­us dengan Setiausaha Agung SAM, Faisal Jamal di talian 014-2366200.

Sementara itu, pendakian Malaysia ke puncak kejayaan dalam arena bola sepak antara­bangsa diperkukuhkan lagi apabila pasukan negara yang dibarisi pemain muda berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 di gelanggang lawan di Jakarta malam kelmarin.

Walaupun bermain di hada­pan lebih 80,000 penyokong fanatik Indonesia, para pemain Malaysia bukan sahaja keliha­tan tenang malah membuka jaringan untuk mendahului Indonesia 1-0 pada minit ke-53 oleh penyerang Mohd Safee Mohd Sali, iaitu gol yang ber­jaya mematahkan semangat pemain Indonesia dan seter­usnya membawa Malaysia menjuarai kejohanan.

Walaupun kalah 1-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam kelmarin, Malaysia tetap muncul juara dengan agregat 4-2. Ia sebe­lum ini menumpaskan Indo­nesia 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Disember lepas. — Bernama