Suami isteri cekal menjaga anak angkat lumpuh

0

Hamdiah dan Drahman sanggup berkorban tenaga, masa dan wang demi membesarkan Siti Rashidah

MIRI: Anak adalah anugerah Tuhan dan mereka berhak mendapat penjagaan, didikan dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Memang menjadi harapan setiap ibu bapa untuk mendapat anak yang sempurna.

Tiada ibu bapa yang mahukan anak mereka dilahirkan cacat ataupun sakit.

Kasih sayang merupakan faktor penting untuk membesarkan seorang anak, tidak kira sama ada anak tersebut adalah daripada darah daging sendiri atau daripada pasangan lain sebagai anak angkat.

Kesempurnaan fizikal dan akhlak memudahkan ibu bapa atau penjaga membesarkan anak mereka tetapi sukar sekiranya anak yang disayangi mempunyai banyak kelemahan.

Inilah dugaan yang dihadapi oleh Hamdiah Bujang, 50, dan suaminya Drahman Latep, 63, yang berkorban tenaga, masa dan wang demi membesarkan anak angkat mereka, Siti Rashidah.

Kedua-dua mereka belum berkesempatan mendengar panggilan ibu dan bapa kerana anak mereka itu masih belum pandai bercakap walaupun telah berusia lima tahun.

Sekali pandang, ramai akan menganggap Siti Rashidah, adalah seorang budak lelaki kerana rambutnya yang telah dipotong pendek.

Ditemui di kediamannya di Kampung Pujut Tanjong Batu di sini semalam, Siti hanya mampu duduk lemah di kerusi roda di ruang tamu rumahnya sambil dilayan dan dijaga dengan baik oleh ayahnya.

“Semasa usianya empat bulan, dia mengalami kejutan yang menyebabkannya secara tiba-tiba membisu dan tidak bergerak.

“Dia dilahirkan normal ketika kami mengangkatnya sebagai anak kami,” cerita Hamdiah di mana pengorbanan mereka dibuat dengan ikhlas dan sepenuh hati.

“Kami cuba berubat dengan cara kampung (tradisional) dan mereka (dukun) memberitahu yang anak kami terkena serangan angin ahmar yang menyebabkan anggota badannya lumpuh,” jelas Hamdiah sambil menambah Siti diangkat daripada pasangan ibu bapa kaum Cina.

Ketika berusia setahun, Hamdiah berkata anggota badan anaknya menjadi keras dengan kedua-dua belah tangannya berada di dada dengan keadaan seperti memangkah.

“Amat susah untuk kami mengalih tangannya dari dada. Amat keras. Dia juga tidak dapat duduk.

“Bila dia berusia tiga tahun, barulah tangannya dapat dialihkan dengan rawatan urutan,” katanya tanpa sedikit pun menampakkan wajah kehampaan.

Dengan anggaran perbelanjaan dan rawatan berjumlah RM800 sebulan, Hamdiah bergantung harap dengan tempahan kek, kuih dan dodol daripada pelanggan.

Pengorbanan suaminya untuk menjaga Siti sepenuh masa membuktikan kesungguhan mereka untuk melihat anak mereka sihat dan membesar dengan baik.

“Kami perlu membeli susu dan menghantar anak kami ke klinik untuk rawatan.

“Kos ulang-alik menghantar anak kami ke hospital dan pusat jagaan juga semakin meningkat,” jelasnya.

Menurut Hamdiah, anak kesayangannya itu sekarang menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Miri yang merupakan kaedah sistematik bagi menilai fungsi tubuh yang tidak sempurna terhadap sistem tulang (otot-otot dan sendi), sistem kardiovaskular (jantung dan sistem pengaliran darah), sistem pernafasan serta sistem saraf.

Simpati dengan nasib Siti, Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting tampil menaja perbelanjaan Siti di pusat jagaan harian Sunflower Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri sejak beberapa bulan lalu.

Di Sunflower, Siti dibantu oleh pakar kanak-kanak, pakar fisioterapi, ahli psikologi, ahli terapi pertuturan yang kini merawat lebih 90 kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus seperti palsi serebrum, sindrom down, austistik, terencat akal, ketidakupayaan dan kecacatan intelek.

Setelah beberapa bulan menjalani rawatan fisioterapi, Siti telah menunjukkan perkembangan positif di mana anggota tangan serta biji matanya semakin mudah bergerak.

Pada masa sekarang, Siti menjalani rawatan fisioterapi pada setiap hari Selasa di Hospital Miri dan tiga hari iaitu hari Rabu, Khamis dan Jumaat di Sunflower.

Untuk memperbaiki dan merawat postur tulang belakangnya, Siti memerlukan sebuah kerusi terapi yang perlu ditempah dari luar negara dengan anggaran nilai harga mencecah RM10,000.

Rayuan telah dikemukakan kepada wakil rakyat kawasan mereka, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin.

“Kami akan cuba mengumpul dana bagi membeli kerusi ini yang akan ditempatkan di Sunflower untuk kegunaan anak-anak jagaan mereka,” jelasnya.

Drahman berterima kasih atas sokongan dan bantuan yang diberikan oleh masyarakat dan wakil rakyat di sini yang telah menguatkan semangat mereka untuk menjaga kebajikan Siti.