Jaga kebajikan golongan kurang bernasib baik

0

SIBU: Keprihatinan dalam menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik sememangnya mencerminkan keperibadian masyarakat Malaysia.

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Dr Soon Choon Teck berkata, kerajaan dan badan bukan kerajaan sememangnya memainkan peranan terbesar bagi menjalankan tanggungjawab yang dipikul.

“Bagi mencapaikan hasrat negara yang ingin melahirkan masyarakat penyayang, masyarakat seharusnya bekerjasama dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi menjayakan sesuatu program yang bebentuk kebajikan terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kebajikan Cash Sweep sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengurus Am Natural Avenue Sdn Bhd (Sarawak) ialah Jackson Lim.

Selain itu, beliau turut menyeru masyarakat agar meraikan sambutan perayaan bersama-sama dengan golongan kurang bernasib baik serta tidak menyisihkan mereka.

Dalam majlis tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, menyampaikan cek bantuan kewangan yang keseluruhannya bernilai RM42,000 dari Cash Sweep kepada 19 pertubuhan dan badan kebajikan dari Baram, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kuching.

Antara badan kebajikan yang menerima manfaat tersebut ialah Salvation Army, Sarawak Cheshire Home, Rumah Seri Kenangan Kuching, PERKATA, Sarawak Children’s Cancer Society, Simanggang Benevolent Society, Sibu Benevolent Society.

Selain itu, Sibu Methodist Children’s Home, Rumah Seri Kenangan Sibu, Persatuan Untuk Kanak-kanak Istimewa Sibu (ACSN), PERPIKAT Bintulu, Miri Home for the Aged, MRCS Hower Centre Miri, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Eda Beran Long Laput, Baram dan Persatuan Ibu Bapa Kanak-kanak Istimewa Miri turut menerima bantuan tersebut.

Di samping itu, Lim memberitahu bahawa Cash Sweep telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk membantu pertubuhan dan badan kebajikan di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Jelasnya, jumlah itu adalah perbelanjaan kewangan seperti pemberian ‘angpau’ serta membeli barangan cenderahati kepada penghuni di rumah kebajikan berkenaan.

“Bukan senang untuk menguruskan rumah-rumah kebajikan tanpa mempunyai perbelanjaan yang cukup.

“Oleh itu, Cash Sweep amat prihatin terhadap masalah-masalah yang membebankan golongan yang kurang bernasib baik dan berusaha membantu mereka melalui program sebegini,” katanya.

Tambahnya, program ini merupakan aktiviti tahunan Cash Sweep dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat yang kurang upaya di negeri ini.

“Tahun lalu kita mengadakan program di Kuching dan kali ini di Sibu sementara tahun depan ianya dijangka akan diadakan di Miri,” jelasnya lagi.

Pada majlis yang sama, Dr Soon dan Lim turut berkesempatan menyampaikan ‘Angpow’ kepada para penghuni rumah badan dan pertubuhan kebajikan berkenaan yang hadir pada majlis itu.